Thursday, February 17, 2011
Adi Putera teruja berlakon filem Don 2
‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia, siapa yang tahu’, perumpamaan itu nampaknya sesuai ditujukan kepada bintang yang semakin bersinar, Adi Putera yang berpeluang bergandingan dengan nama besar di pentas Bollywood.
Bukan mudah untuk artis tempatan dipilih oleh produksi luar, namun Adi membuktikan tiada apa lagi yang mustahil.
Adi yang diberi peranan sebagai peguam kepada Shah Rukh Khan (SRK) dalam Don 2, mengakui terkejut dan terharu kerana diberi peluang untuk mempamerkan bakat ke pentas antarabangsa.
“Tahun lalu ada sebuah syarikat memanggil saya untuk menghadiri sesi uji bakat pemilihan pelakon tetapi tidak dinyatakan untuk produksi mana.
“Jadi saya hanya datang dan melakukan apa yang mereka pinta. Kemudian pita rakaman sesi uji bakat itu dihantar ke India.
“Beberapa bulan selepas itu, saya menerima tawaran untuk menjadi peguam kepada Shah Rukh Khan di dalam filem Don 2, “ katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Adi lagi, dia memang berasa teruja kerana dapat berganding dengan nama besar yang sangat dikenali dalam pentas lakonan.
“Saya sudah menyelesaikan babak antara saya dan SRK di Melaka baru-baru ini. Walaupun saya cuma dapat berlakon dengannya hanya untuk satu babak dalam tiga syot yang berbeza, tapi saya tetap berasa terharu dan teruja kerana bukan senang dapat peluang sebegini.
“Bagaimanapun saya dan SRK tidak sempat berbual-bual kerana produksi mengejar masa. Babak antara saya dan SRK berlaku di penjara kerana saya sebagai peguamnya yang mahu membantu dia yang dipenjara.
“Jadi kami kena ikut jadual penggambaran yang ditetapkan dan kami tidak mempunyai banyak masa untuk berbual-bual,” katanya.
Beliau berkata, meskipun sekejap, dia bersyukur kerana berpeluang bekerja dengan produksi luar sekali gus menimba pengalaman baru yang bukan selalu peluang sebegitu diperolehi dan dapat dilalui.
“Bila berlakon saya sentiasa akan cuba memberi hasil yang terbaik, jadi nantikan saja hasilnya apabila ia ditayangkan kelak,” jelas Adi.
Selain Shah Rukh Khan, Don 2 turut dijayakan Priyanka Chopra yang turut berada di Malaysia. Don 2 adalah susulan filem Don: The Chase Begins yang dihasilkan pada 2006.
Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi dipilih sebagai lokasi untuk penggambaran filem ini yang turut disertai 140 kru filem dan akan berakhir di Berlin, Jerman.
Filem arahan Farhan Aktar itu dijangka dipasarkan di 32 negara pada Disember ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: