Tuesday, February 1, 2011

Intai peluang kolaborasi




SENYUMAN tidak pernah lekang dari bibir penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah yang ditemui minggu lalu di Bora Ombak, Ampang, pada majlis sidang media pengumumannya sebagai wakil Malaysia ke konsert Asia Star Session di Festival Voice Of Astana sempena dengan temasya Sukan Musim Sejuk Asia ke-7 (7th Winter Asian Games) di Astana City, Kazakhstan.

Penuh dengan perasaan teruja, Shila memberitahu dia langsung tidak menyangka dipilih untuk mewakili Malaysia dalam persembahan pentas yang turut disertai oleh penyanyi dari 45 buah negara lain.

Tawaran daripada pihak Performers & Artistes Rights (M) Sdn. Bhd. (Prism) yang diterimanya pada awal Disember tahun lalu disambut dengan hati yang terbuka namun penuh debaran.

“Saya teruja tetapi dalam masa yang sama gementar kerana inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Kazakhstan dan inilah persembahan terbesar pertama saya di luar negara. Tawaran ini juga satu penghormatan buat saya, pastinya saya ingin lakukan yang terbaik kerana saya membawa nama Malaysia meskipun ia hanyalah sebuah persembahan,” ujarnya yang telah berkecimpung dalam bidang seni selama 12 tahun.

Temasya sukan yang telah berlangsung sejak tahun 1951 itu sedikit berbeza tahun ini apabila ia turut mengadakan festival muzik. Festival itu merupakan satu platform buat Shila untuk mengembangkan lagi sayap seninya ke peringkat antarabangsa kerana terdapat ramai penerbit muzik yang turut akan menghadiri festival tersebut.

“Saya anggap ini satu pembuka tahun 2011 yang baik buat saya dan akan gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengenali penyanyi-penyanyi dari negara lain, mana tahu saya boleh berkolaborasi dengan mereka.

“Mungkin juga saya akan mendapat tawaran persembahan di sana kerana saya menganggap orang yang menonton persembahan saya merupakan bakal pelanggan yang akan mengundang untuk persembahan saya pada masa depan,” ucap gadis berusia 21 tahun itu lagi.

Meskipun persembahan Shila di temasya itu hanya berlangsung dalam durasi 20 minit tetapi persiapan telah dilakukan sejak sebulan yang lalu kerana perbezaan cuaca antara Malaysia dan Kazakhstan yang kini sedang dilanda musim sejuk.

“Saya jenis tidak tahan sejuk. Jadi perbezaan cuaca yang sangat besar antara Malaysia dan Kazakhstan boleh mengganggu suara saya jika tidak membuat persiapan. Selama sebulan saya lebih banyak bersenam supaya dapat tingkatkan stamina, menjaga pemakanan dan paling saya risaukan adalah tahap kesihatan saya.


BARU berusia 21 tahun, Shila tahu hala tuju dan kemahuan dalam industri seni.


Dalam festival yang berlangsung sejak 30 Januari sehingga 5 Februari itu, ia merangkumi dua acara besar iaitu Konsert Klasikal dan Opera serta Moden dan Hip Hop. Shila yang membuat persembahan pada 3 Januari akan menyanyikan dua buah lagu iaitu lagu Nirmala dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza dan sebuah lagu bahasa Inggeris yang belum diputuskan lagi.

“Pihak Prism beritahu, mesti ada persembahan yang melambangkan Malaysia dan saya pilih lagu Nirmala. Saya akan menyarungkan pakaian daripada kain songket rekaan Salikin Sidek dan menari ketika mendendangkan lagu itu. Saya juga telah beritahu Datuk Siti yang saya akan menyanyikan lagunya pada festival itu nanti.

“Lagu bahasa Inggeris pula saya belum membuat sebarang pilihan tetapi buat masa ini ada dua buah lagu yang saya sedang pertimbangkan iaitu antara lagu The Climb nyanyian Miley Cyrus dan I Drove All Night nyanyian Celine Dion,” tuturnya yang akan diiringi muzik minus one.

Shila yang terbang ke Kazakhstan bersama kedua ibu bapanya serta wakil Prism pada 30 Januari lalu dan akan kembali ke Malaysia pada 6 Januari turut mengadakan persembahan di kedutaan Malaysia di sana.

Album baru

Selepas muncul dengan album 3 Suara bersama penyanyi Jaclyn Victor dan Ning Baizura, Shila akan muncul bersama album kelimanya yang dijangka akan berada di pasaran pada penghung tahun ini.

Menariknya kebanyakan lagu yang akan dimuatkan dalam album itu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Shila, manakala susunan muziknya pula dilakukan oleh komposer kegemarannya iaitu Aubrey Suwito.

“Saya tidak akan keluarkan album dalam masa terdekat kerana akan bertindih dengan album 3 Suara, jadi saya akan keluarkan lagu single terlebih dahulu yang kini sedang dalam proses.

“Lagu terbaru ini sangat bermakna kerana ia adalah ciptaan saya sepenuhnya menggunakan gitar, saya ingin menjadi penyanyi yang mencipta lagu sendiri,” katanya tentang lagu single yang dibikin menggunakan wangnya sendiri.

Tegas Shila, meskipun mahir bermain gitar tetapi dia masih tidak mempunyai keyakinan untuk memetik gitar di depan khalayak sebaliknya dia lebih selesa memetik gitar ketika mencipta lagunya sendiri.

“Saya tidak berani dan yakin untuk main gitar masa buat persembahan. Kalau saya pegang gitar hanyalah untuk cipta lagu sendiri sahaja. Buat masa ini terdapat lebih daripada 20 buah lagu ciptaan saya yang berada dalam simpanan.

“Saya membawa semua lagu itu kepada Aubrey, kemudian dia akan memilih lagu yang dirasakan menarik dan boleh digilap. Saya memang banyak belajar daripadanya,” katanya yang turut berkebolehan bermain piano.

Duta produk Safi Balqis itu menegaskan album baru yang bakal diluncurkan itu menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri bukannya dana daripada bapanya yang juga seorang penyanyi dan ahli perniagaan, ND Lala.

“Saya menjadi duta produk dan membuat persembahan pentas, semua duit itu saya simpan dan tidak digunakan sewenang-wenangnya. Bapa saya, kalau saya minta tolong, dia pastikan akan berikan duit tetapi saya sudah mempunyai pendapatan sendiri.

“Jadi saya rasa malu untuk minta duit daripada ibu bapa. Kalau bapa beri duit saya akan menganggap ia sebagai pinjaman dan akan bayar semula. Dia tidak pernah ajar anak-anaknya untuk dapat duit dengan cara yang mudah, kalau nak duit harus berusaha keras,” beritahunya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: