Tuesday, February 1, 2011

The Kerinting Three hangatkan Suria FM


SHIERA diberi mandat untuk menyuntik daya sokongan dalam mengukuhkan lagi segmen Breakfast@Suria.


SEGMEN pagi Suria FM iaitu Breakfast@Suria yang sebelum ini menggandingkan Halim Othman dan Zizi kini diceriakan lagi dengan seorang lagi penyampai iaitu Sharifah Shahira (Shiera).

Idea menggandingkan tiga penyampai radio pada segmen pagi dianggap suatu trend masa kini dan bukannya meniru stesen-stesen lain.

Ketua Pegawai Penyiaran Suria FM, Yusry Abu Samah berkata pemilihan aktres wanita popular itu untuk mengemudi segmen Breakfast@Suria pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 5 hingga 10 pagi bermula semalam diharapkan dapat menjadikan stesen radio itu lebih versatil.

“Kami memilih Shiera berdasarkan undian yang dilakukan kepada pendengar. Selain itu kami menetapkan untuk memilih penyampai baru dari latar belakang selebriti setelah meneliti kajian dari semua rangkaian stesen radio yang kebanyakannya memilih golongan selebriti sebagai penyampai.

“Kami juga merasakan idea ini mampu memberikan suasana ceria kepada pendengar dan membantu mengekalkan kesetiaan mereka untuk mendengar segmen seterusnya,” katanya pada sidang akhbar pengumuman Shiera sebagai anggota baru Suria FM di Studio V, One Utama sekali gus membubarkan segmen pagi yang dikemudi dua jejaka yang menggelarkan diri mereka The Kerinting Bro sebelum ini.

Tambahnya, stesen radio dengan tagline, Muzik Terbaik 90-an Dan Terbaru itu menggandingkan tiga penyampai itu untuk seimbangkan dari segi jantina penyampai segmen itu yang sebelum ini kedua-duanya lelaki.

“Jadi, sebab itu kita mencari ‘sekuntum bunga’. Lagipun pendengar kita terdiri daripada lelaki dan wanita.

“Shiera juga dilihat seorang yang versatil dan mempunyai disiplin yang bagus, gelaran (kerinting) itu diteruskan memandangkan rambut ketiga-tiga mereka kerinting,” ujarnya lagi mengenai gandingan Halim, Zizi dan Shiera yang kini dikenali sebagai The Kerinting Three.

Halim dan Zizi dalam pada itu ternyata memberikan reaksi yang positif sekali gus mengalu-alukan kehadiran Shiera untuk bergandingan dengan mereka.


GANDINGAN Zizi, (kiri) Halim, dan Shiera kini dikenali sebagai The Kerinting Three.


“Saya melihat Shiera seorang yang sangat versatil setelah menontonnya dalam beberapa program di televisyen. Jadi, saya berharap dia dapat menjadikan karier ini sebagai medan untuk menonjolkan bakatnya.

“Pendengar juga dapat mendengar suara wanita pada waktu pagi. Setakat ini, kami telah berbincang dari segi topik yang akan dibualkan dan memberikan panduan kepada Shiera tentang waktu dia boleh bercakap pada masa-masa tertentu,” ujar Halim sambil disokong Zizi.

Dalam pada itu, ketika ditanya kepada Shiera mengenai kemunculannya yang dilihat menempel ‘nama’ Halim dan Zizi, Shiera berkata dia menerima tawaran daripada Suria FM untuk menjadi penyampai radio kerana ini merupakan peluang bagi dia untuk mempelbagaikan cabang kerjayanya.

“Saya anggap ini satu peluang untuk saya dan bukannya mahu menumpang glamor orang, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk menceriakan segmen pagi memandangkan segmen itu paling didengari kerana ia merupakan waktu orang keluar bekerja,” katanya.

Selain menambah ahli baru, stesen radio Suria FM mengatur pelbagai program menarik pada tahun ini termasuk memperkenalkan peraduan Demam Facebook Suria yang mempertaruhkan hadiah wang tunai sejumlah RM20,000.

Bermula 22 Januari lalu, pendengar berpeluang menyertai peraduan tersebut dengan hanya klik 'like' pada 'fan page' Suria FM dan menukar gambar profil kepada logo 'I Love Suria FM'.

Syaratnya mudah, pendengar hanya perlu mengemaskinikan status asing-asing dengan memberikan pendapat terbaik tentang stesen radio itu.

Kemudian pendengar perlu mendengar Breakfast@Suria dan Suria Drive setiap hari bermula Isnin, 24 Januari hingga 18 Februari ini penyampai yang bertugas akan mengumumkan nama pendengar bertuah dan pendengar tersebut mesti menghubungi Suria FM dalam masa 15 minit untuk memenangi wang tunai RM500.

Selain itu, Suria juga akan menganjurkan program realiti SuriaShowDown! Band Kampus Terbaik 2011' yang terbuka kepada penuntut di institut pengajian tinggi swasta dan awam seluruh Malaysia.

Uji bakat telah diadakan di Penang Megamall, Pulau Pinang pada Sabtu lalu, East Cost Mall, Kuantan (30 Januari), The Zone, Johor Bharu (5 Februari) dan Plaza Metro Kajang (6 Februari).

Dua kumpulan yang terpilih di setiap tempat akan memasuki peringkat akhir pada 26 Februari ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Pemenang akan membawa pulang wang tunai RM10,000, manakala tempat kedua sebanyak RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000.

Seperti tahun lepas, Suria FM meneruskan peraduan Lagu Berduit Suria FM bermula Mac ini dengan menawarkan hadiah lumayan.

Selain itu, Suria FM untuk negeri Sabah secara rasmi akan beroperasi apabila studionya di 1Borneo Shopping Mall, Kota Kinabalu yang dikendalikan oleh Othoe dan Dudu (Lotter) secara rasminya akan ke udara mulai Mac ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: