‘BUKAN semata-mata bergembira, tetapi berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang bernasib baik’.Itu slogan pusat beli-belah Sunway Carnival Mall (SCM) Seberang Jaya, Pulau Pinang sepanjang meraikan sambutan Tahun Baru Cina bersama para pelanggannya tahun ini.
Berlatar belakang seperti sebuah pentas opera, ruang legar pusat beli-belah itu dihiasi pintu gerbang yang dihias cantik dengan juraian tanglung berwarna merah serta sebuah merentasi kolam kecil.
Menepati sambutan Tahun Arnab, pihak pengurusan SCM memperkenalkan maskot istimewa mereka iaitu Hoopy Si Arnab, nyata kehadirannya berjaya menarik perhatian pengunjung terutama si kecil.
Bermula sejak 7 Januari lalu, pesta sambutan Tahun Baru Cina berlangsung di pusat beli-belah ini sehingga 17 Februari ini. Sepanjang tarikh itu, pelbagai acara menarik disusun pihak SCM kepada pengunjungnya.
Ia dimulakan dengan acara tahunan iaitu Kejohanan Tarian Singa Tradisional Kebangsaan SCM 2011 yang berlangsung pada 9 Januari.
Sebanyak 30 pasukan dari seluruh negara mempamerkan persembahan menakjubkan pada kejohanan berprestij itu yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM5,000 dan piala.
Aksi hebat peserta Pertubuhan Tarian Singa dan Naga Hong Teik, Alor Setar melayakkan mereka dinobatkan sebagai juara manakala pasukan Bukit Mertajam Berapit Hwa Kwang Da Di ‘A’ di tempat kedua.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sukan negeri, Lydia Ong Kok Foi yang merasmikan acara penutupnya.
Ia disusuli dengan promosi album lagu-lagu bercorakkan sambutan Tahun Baru Cina oleh artis Sunny Angel, persembahan tarian naga dan persembahan kumpulan akrobatik dari China.
Pelancaran sambutan
Kemuncaknya ialah pelancaran Bulan Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina SCM 2011 pada pertengahan Januari lalu yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan negeri, Phee Boon Poh.
Pada majlis yang sama, SCM melancarkan tabung gergasi Hoppy bagi kutipan amal untuk disumbangkan kepada beberapa rumah kebajikan terpilih di Pulau Pinang. Objektifnya agar sumbangan itu dapat digunakan bagi menyerikan sambutan Tahun Baru Cina penghuni rumah kebajikan tersebut.
Menurut Pengurus Besar SCM, Chow Heng Wah, setiap hari acara berbeza dipersembahkan di pentas utama itu bermula dari pukul 3 petang hingga 8 malam yang kesemuanya bertemakan keceriaan menyambut Tahun Arnab.
Katanya, sambutan itu terlebih dahulu dimulakan dengan kunjungan ke Rumah Sejahtera Permatang Tinggi dekat Bukit Mertajam iaitu sebuah rumah kebajikan warga emas bagi membuat kerja amal dan menyerahkan sedikit sumbangan.
“Para pelanggan juga boleh berbuat perkara sama untuk menderma kepada Tabung Hoppy yang kita letakkan dekat ruang legar. Hasil kutipan ini nanti akan disumbangkan ke beberapa rumah kebajikan.
“Ini mesej yang SCM ingin sampaikan iaitu jangan lupakan golongan tidak bernasib baik, sebaliknya kongsi kegembiraan bersama mereka,” ujarnya.
Jelas Heng Wah, secara spiritualnya, watak Hoppy mengekalkan tradisi masyarakat Cina terutama di kalangan kanak-kanak terhadap kepercayaan mereka berdasarkan perayaan itu yang disambut mengikut zodiak haiwan berbeza setiap tahun.
Angpau untuk pengunjung
Sepanjang sambutan ini nanti, pihak SCM juga berbesar hati menghadiahkan pek angpau Hoppy berwarna merah dan tabung duit Hoppy kepada pengunjung yang berbelanja sekurang-kurangnya RM50 dan RM250 di premis terpilih pusat beli belah tersebut.
Tabung duit Hoppy didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu kuning yang melambangkan kemewahan, merah jambu (kasih sayang), hijau (kesihatan baik), oren (kemewahan) dan putih (keharmonian).
“Untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan acara-acara menarik di sini, orang ramai perlu melayari laman sesawang kami, www.sunwaycarnival.com untuk mendapatkan maklumat terkini,” ujar Heng Wah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: