TERINDAH...kenangan yang dirakamkan ketika majlis perkahwinan Norhaslinda dan arwah suami, Mohd Farid.
KENANGAN...Maisarah menunjukkan keratan akhbar yang menunjukkan kemalangan ngeri yang meragut nyawa suami dan anaknya.
BAGI Maisarah Ismail (bukan nama sebenar), kemalangan jalan raya membabitkan suami dan anaknya kira-kira 13 tahun lalu suatu peristiwa hitam yang tidak mungkin dilupakan dalam sejarah hidupnya.
Kemalangan di Kilometer 24, Jalan Kuantan-Gambang yang meragut nyawa suami dan anak lelakinya (ketika itu baru berusia setahun lebih) yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung mereka di Kota Bharu, Kelantan.
Suaminya, Fareez Ahmad, memandu kereta manakala keretanya mengalami kerosakan teruk akibat berlanggar dengan treler sehinggakan Maisarah sendiri terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang.
Mengimbas kembali kenangan itu, dia mengakui seolah-olah diberi peluang kedua oleh Allah apabila masih menyedut udara di alam maya hingga ke hari ini namun kesetiaan terhadap arwah suami tercinta tidak pernah padam.
"Kami menyulam cinta ketika sama-sama menuntut di universiti dan mengambil keputusan untuk berkahwin. Pada semester akhir pengajian, sebelum menerima ijazah, kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
"Apabila suami sudah bekerja sebagai guru sebelum mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran, saya memberinya galakan supaya kami sama-sama meningkatkan diri untuk mendalami pengajian masing-masing.
"Ketika menuntut di institusi pengajian tinggi, saya mengambil pengkhususan dalam bidang syarie dan memperoleh ijazah dalam pengajian Islam manakala suami dalam pendidikan Bahasa Inggeris. Sebaik saya diterima mengajar di sebuah sekolah di ibu kota, suami pula mendapat tawaran mengajar di sebuah sekolah di Cherating, Kuantan."Ketika kemalangan berlaku dan meragut nyawa suami dan anak, kami dalam perjalanan pulang ke kampung kami di Kota Bharu dan saya ketika itu hamil anak kedua. Mulanya saya sedih kerana Tuhan mengambil dua nyawa yang sememangnya menjadi jantung hati saya selama-lamanya.
"Namun, saya perlu bersyukur kerana ketika itu Allah menggantikannya dengan kandungan yang baru berusia tiga minggu. Di situ saya melihat betapa agungnya Allah yang memberi saya kekuatan untuk terus bersemangat," katanya mengimbau kembali sejarah yang pernah menimpa.
Menurutnya, setiap kali menatap keratan akhbar mengenai liputan kemalangan yang menimpa dirinya, arwah suami dan anak, dia bagaikan tidak percaya kenangan itu sudah lama berlalu. Bagaikan baru semalam kisah itu berlaku kerana setiap kali mengenang arwah suami dan anak, hatinya menjadi sebak seketika.
Menggagahkan diri untuk bercerita selanjutnya, wanita yang berusia awal 40-an yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Lumpur, mengakui sehingga kini cinta arwah suaminya itu tidak mampu ditukar ganti dengan sesiapa walaupun dia banyak menerima lamaran lelaki.
Selama lima tahun menyulam cinta dan lima tahun hidup bersama arwah suami, dia akur itulah cinta pertama dan terakhirnya serta sentiasa reda, membuatkan dia tenang menghadapi hidup.
"Saya menganggap 10 tahun mengenali arwah suami adalah anugerah paling berharga dalam hidup saya. Kekosongan hati ini tidak mampu diisi sesiapa kerana kini saya ingin membesarkan zuriat kami iaitu Ahmad Haqimie (bukan nama sebenar) kerana itulah amanah arwah.
"Pesannya agar menjaga anak kami dengan baik masih terngiang-ngiang hingga ke hari ini. Bahkan, paling tak boleh dilupakan bila dia berpesan supaya berkahwin lain jika dia pergi terlebih dulu.
"Arwah juga selalu mengingatkan saya supaya tidak berhutang. Malah arwah juga sering mengingatkan supaya melunaskan hutangnya dengan kawan atau saudara-mara apabila dia sudah tiada," katanya.
Antara kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakannya iaitu seminggu sebelum berangkat pulang ke kampung, arwah menatap rumah yang menjadi tempat tinggalnya dalam keadaan yang agak lama.
"Apabila ditanyakan mengapa dia melihat rumah begitu lama, dia cuma kata takut pergi dan dia tidak kembali lagi.
"Saya katakan pada arwah, kenapa berkata begitu? Dia kata, cuma rasa akan pergi jauh dan mungkin meninggalkan saya buat selama-lamanya.
"Saya masih beranggapan itu hanya gurauan. Apabila dia sudah tiada, baru terbayang kata-katanya itu benar. Dia pergi meninggalkan saya dengan membawa bersama anak sulung kami," katanya dalam nada yang masih sebak.
Ketika dia turut dimasukkan ke wad ICU, perkara yang tidak boleh dilupakan hingga kini adalah apabila diberitahu jururawat yang menjaganya di hospital suami sudah meninggal dunia. Dia sendiri meminta izin untuk keluar dari hospital semata-mata menatap jenazah arwah suami dan anak buat kali terakhir.
"Saya dapat bayangkan jururawat itu hairan melihat saya yang langsung tidak menitiskan air mata. Bahkan, ramai yang bersimpati dengan saya ketika itu, tetapi disebabkan rasa cinta yang begitu kuat buat arwah suami, saya tidak mahu menitiskan air mata semata-mata mendapat tahu dia sudah meninggalkan saya.
"Apa yang penting kepada saya, selalu membayangkan dia pernah berpesan jangan menangis kalau ditakdirkan dia pergi terlebih dulu.
"Berpegang pada kata-kata itulah yang membuatkan saya tabah menerima ketentuan Ilahi," katanya.
Tidak pernah sunyi walaupun tanpa kehadiran lelaki lain dalam hidupnya, Maisarah akui bahagia dengan menumpahkan kasih sayang kepada anaknya yang kini sudah berusia 13 tahun.
"Jika kita tenang dan sabar menghadapi setiap ujian yang diberikan Allah SWT saya yakin untuk menemui cinta sejati bersama arwah suami di akhirat kelak. Pada saya, cinta kepadanya, tiada galang gantinya," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: