PERJALANAN penulis dari Johor Bahru ke Kampung Tenang, Labis mengambil masa kira-kira dua jam.
Sepanjang perjalanan tersebut, tanda tanya mengenai keistimewaan kampung yang terletak kira-kira 15 kilometer (km) dari pekan Labis itu sering terlintas dalam fikiran.
Kampung berkenaan menyimpan pelbagai sejarah menarik selain mempunyai beberapa keistimewaan lain seperti tempat mandi air panas di Pekan Ayer Panas, kawasan riadah di Hutan Lipur Takah Melor dan pelbagai khazanah flora dan fauna di hutan simpanan yang bersempadan dengan kampung tersebut.
Bukan itu sahaja, kampung tersebut kaya dengan hasil buah-buahan. Suatu masa dahulu, kawasan tersebut terkenal dengan buah bidara yang dikatakan paling manis di negara ini.
Selain pokok buah bidara yang masih banyak didapati, beberapa jenis pokok buah-buahan lain seperti manggis, rambutan dan langsat juga hidup subur di kampung tersebut.
Menyingkap sejarah Kampung Tenang yang dipetik dari laman web Majlis Daerah Labis (MDL), kampung berkenaan telah dibuka oleh Mohamad Ariffin Allauddin atau juga dikenali sebagai Tok Tenang, pada awal abad ke-19 iaitu pada tahun 1806. Sejak itu, Kampung Tenang mula membangun. Tenang telah ditadbir mengikut hierarki dan pelan tersendiri dengan Mohamad Ariffin bertindak sebagai ketua pentadbir dan ketua agama. Keadaan itu berubah semasa pentadbiran anaknya, Abu Bakar setelah berlakunya Perang Jementah pada tahun 1879.
Semasa pentadbiran Abu Bakar, beliau merupakan ketua pentadbiran manakala jawatan ketua agama disandang abangnya, Abu Hassan.
Generasi keenam
Semasa Perang Jementah, Tenang menyebelahi Johor untuk menentang Segamat, Jementah dan Kesang. Setelah Segamat dan Jementah jatuh ke tangan Johor, Abu Bakar dilantik oleh Maharaja Abu Bakar sebagai Penghulu Mukim Tenang dan Juasseh.
Dalam satu situasi, Abu Bakar yang tidak bersetuju dengan sikap Maharaja Abu Bakar telah melepaskan jawatan kepada anak saudaranya iaitu Yaakob Abu Hassan.
Semasa Datuk Seri Amar Diraja Johor menjadi Menteri Besar Johor, pemetaan negeri daerah dan mukim dibuat semula. Mulai hari itu mukim Tenang-Juasseh dikenali sebagai mukim Labis.
Menurut seorang penduduk yang juga merupakan generasi keenam keturunan Tok Tenang, Hadijah Abdul Wahab, 73, keturunan mereka berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera.
Menurut Hadijah, Tok Tenang dipercayai telah sampai dan membuka kampung berkenaan bersama-sama pengikutnya lebih 200 tahun lalu. Beliau kemudiannya telah membangunkan kampung berkenaan mengikut acuan sendiri.
“Ekonomi utama penduduk pada waktu tersebut termasuk bersawah padi dan mengusahakan tanaman-tanaman lain serta buah-buahan.
“Mereka juga menggali telaga untuk mendapatkan sumber air minuman.
“Sawah padi ketika itu sangat subur dan penduduk turut membuat empeng ketika musim menuai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pekan Ayer Panas, Labis baru-baru ini.
Suaminya, Wan Ismail Wan Mohamad, 73, berhijrah ke kampung berkenaan ketika zaman darurat iaitu pada tahun 1955.
Pada masa itu, katanya, penduduk kampung dikenakan catuan makanan dan perlu mendapatkan permit sekiranya ingin membawa barang seperti lampu picit dan baju hujan.
“Aktiviti sawah padi pula berakhir pada 1960-an dan telah diubah kepada tanaman lain seperti kelapa sawit, pokok buah-buahan selain didirikan rumah oleh penduduk,” kata bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang dan yang paling lama berkhidmat iaitu dari tahun 1969 hingga 1986.
Menarik pelancong
Dalam pada itu, Ketua Kampung Tenang, Mohd. Fuad Ahmad, 53, memberitahu ketika ini kampung berkenaan dihuni kira-kira 1,000 orang.
Sumber ekonomi utama, katanya adalah getah, kelapa sawit, dusun dan ternakan seperti lembu serta kambing. Sebahagian daripada penduduk juga bekerja di luar kampung.
“Kampung ini bersempadan dengan Hutan Simpan Labis, Taman Negara Endau-Rompin dan terdapat beberapa gunung antaranya Gunung Besar dan Gunung Cabang Tiga.
“Kawasan tumpuan utama pelancong termasuk air terjun di Takah Melor dan pusat rekreasi Kolam Air Panas,” jelasnya.
Menurutnya, ada banyak usaha dirancang dan akan dijalankan untuk menarik lebih ramai pelancong ke mukim tersebut.
Antara yang bakal dilaksanakan pada masa hadapan adalah kerjasama dengan kerajaan negeri bagi merangka pembangunan kampung itu termasuk membina padang golf, pusat penyelidikan flora dan fauna dan pusat pemuliharaan gajah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: