Tuesday, February 22, 2011

Haiwan Suci bakal perkenal susu Sukamogi



Medas Corporation Sdn Bhd menerusi anak syarikat terlibat dalam bidang penternakan, Haiwan Suci Sdn Bhd, akan memperkenalkan susu kambing jenama Sukagomi, Mac ini.

Naib Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Fariz Abu Bakar berkata, pengenalan produk baru itu selaras memenuhi matlamat syarikat yang merancang mengeluarkan satu produk baru setiap suku dalam tempoh setahun.

Menurutnya, lebih RM10,000 digunakan sebagai pelaburan awal untuk ujian di makmal bagi membuktikan kualiti susu kambing dikeluarkan syarikat benar-benar bermutu dan terjamin.

“Kita ingin mendidik masyarakat supaya mengenali susu kambing dan memanfaatkan khasiat susu itu yang diyakini membantu merawat penyakit kronik,” katanya.

Haiwan Suci kini menternak 70 kambing daripada baka Jamnapari dari India, di ladang pemilikan syarikat menggunakan pelaburan awal mencecah RM300,000.

Ladang itu terletak di Hulu Langat, Selangor dan syarikat berhasrat menambah bilangan ternakan itu kepada 200 ekor sehingga akhir tahun ini.

“Menerusi bilangan ternakan yang ada, kami berjaya menghasilkan 150 liter susu setiap bulan meningkat lebih banyak daripada awal penternakan dahulu yang hanya 40 liter hingga 50 liter sahaja. Kami optimis mencapai 1,000 liter susu setiap bulan,” katanya.

Fariz berkata, berdasarkan pengeluaran yang ada, syarikat mula memasarkan susu itu di kafeteria dan sepanjang tempoh percubaan, sambutannya menggalakkan.

“Medan pemasaran utama kami sekarang adalah di restoran Chelos dan pelanggan boleh menikmati susu itu dalam bentuk minuman ais kisar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: