
Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dalam usaha membimbing 100 pekedai runcit tahun ini di seluruh negara melalui program Transformasi Kedai Runcit (Tukar), sebuah program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin (gambar) berkata, Mydin menjangka jualan pekedai runcit di bawah bimbingannya akan meningkat antara 40 hingga 50 peratus setelah semua proses transformasi kedai runcit selesai dan peruncit menguasai kepakaran dalam bidang peruncitan melalui program bimbingan itu.
“Dua kedai di Melaka (yang sudah ditransformasikan) dalam tempoh dua hari sudah meningkat jualan lebih 30 peratus,” katanya.
Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatan sehari ke negeri ini, sempat meluangkan masa melawat dua kedai kedai runcit Mydin berkenaan di Bandar Baru Merlimau yang terlibat dalam program itu.
Ameer Ali berkata, kedai terlibat adalah dua kedai pertama di bawah bimbingan Mydin melalui program Tukar di seluruh negara dan Mydin akan melakukan transformasi terhadap tiga kedai runcit di Melaka dalam masa terdekat.
Menerusi program Tukar, menurutnya, peruncit diberikan pinjaman oleh kerajaan antara RM20,000 hingga RM60,000 berdasarkan keperluan peruncit dan Mydin akan mengawal selia pertukaran kedai runcit itu daripada kedai runcit tradisional kepada kedai runcit lebih moden.
Ameer Ali berkata, antara transformasi dibuat Mydin terhadap kedai runcit itu melibatkan penyusunan semula reka letak barangan jualan, melakukan renovasi seperti mengecat semula dan pemasangan lantai marmar dan paling penting penggunaan sistem di tempat jualan (POS).
Program Tukar adalah antara program Aktiviti Ekonomi Utama Negara (NKEA) KPDNKK dan kerajaan menyasarkan 500 kedai runcit tradisional akan dimodenkan melalui program itu tahun ini, yang turut disertai Carrefour dan Tesco.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: