Tuesday, February 22, 2011

Apa relevan Maharaja Lawak



Selepas rancangan realiti Raja Lawak mendapat sambutan di luar jangkaan, kini muncul rancangan realiti terbaru, Maharaja Lawak. Rancangan yang akan mengumpulkan semua finalis Raja Lawak daripada musim pertama hingga kelima. Bakal dipentaskan tidak berapa lama itu, Maharaja Lawak akan memperlihatkan persaingan sesama sendiri untuk merebut gelaran Maharaja Lawak.

Namun, wujud persoalan apakah relevannya rancangan itu. Ia seolah-olah menunjukkan pihak penerbitan seakan kekurangan idea untuk dipertontonkan kepada umum.

Pengurus Saluran Prima & Warna, Nizam Sani dihubungi berkata, idea Maharaja Lawak bukanlah sekadar mengisi tempat kosong, tetapi adalah medium kepada finalis Raja Lawak untuk mempamerkan bakat mereka kepada umum.

“Kami membuka semula ruang kepada semua finalis untuk mereka kembali menggeletek penonton dengan lawak mereka. Bukan sekadar memberi hiburan, tetapi rancangan ini adalah platform terbaik mereka memperkenalkan semula nama kepada umum.

“Mungkin ada di antara mereka tenggelam selepas Raja Lawak, sekalipun berada di tempat kedua atau ketiga. Kami membuka ruang kembali kepada mereka untuk mempertaruhkan bakat dan kemahiran menghiburkan penonton.

“Jika sebelum ini, ada pihak kurang yakin dengan juara Raja Lawak kerana kurang mendapat sambutan. Menerusi platform ini, mereka boleh membuktikan kemampuan mereka. Maharaja Lawak adalah untuk mereka.

“Di sini, mereka boleh menunjukkan kehebatan dan kreativiti mereka untuk mencuri hati peminat sedia ada dan menaikkan nama mereka di persada seni. Kami yakin program ini akan mendapat sambutan hangat,” katanya menafikan pihaknya semakin kekurangan idea.

Menurutnya, sebagai stesen penyiar antara yang terbaik, pihak Astro sentiasa muncul dengan pelbagai program baru dan segar khas untuk penonton setia mereka.

Nizam turut menyangkal dakwaan mengatakan rancangan ini akan berat sebelah kerana menggabungkan finalis Raja Lawak dikenali seperti Nabil, Johan dan Zizan bersama finalis kurang dikenali.

“Undian untuk Raja Lawak diserahkan kepada penonton. Tetapi untuk Maharaja Lawak, kami akan bahagikan undian kepada juri profesional dan juri penonton. Ini bermakna, keputusan akan bergantung pada juri profesional sebanyak 50 peratus dan penonton 50 peratus," katanya. Menurutnya, pihaknya sedar, pasti akan berlaku isu berat sebelah.

Oleh sebab itu, pihaknya akan memberikan tanggungjawab memilih kepada juri dilantik.

Menurutnya, sudah lama pihaknya memikirkan untuk menggabungkan kesemua finalis Raja Lawak kerana mempunyai ramai peminat. Tidak hanya memikirkan populariti, Nizam berkata, inilah usaha Astro untuk memartabatkan pelawak di Malaysia.

“Pihak kami sudah lama berhasrat membuat satu program seperti ini kerana Raja Lawak mendapat sambutan baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: