
Menerusi rangkaian lagu menjadi siulan ramai, Wings mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat tidak mengira usia.
Dari pentas 'fun-fair' hingga ke pelbagai siri jelajah konsert, kini panggung berprestij Istana Budaya (IB) bakal menjadi saksi kehebatan kumpulan itu.
Wings akan beraksi dalam konsert Opera Hidup Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) pada 29 April hingga 1 Mei depan.
Konsert dianjurkan Bombbay Worldwide dan Anggerik Event bersama Red On Black itu menghidangkan karya eksklusif Wings yang belum pernah disaksikan peminat.
Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombbay berkata, kelainan adalah aspek utama ditekankan kerana IB mahu persembahan Wings berbeza.
“Wings terlibat banyak persembahan sebelum ini, namun konsert di IB menjanjikan kelainan apabila kumpulan ini diiringi 43 pemuzik orkestra dan 16 penyanyi koir.
“Sepanjang tiga hari itu, peminat disajikan pelbagai kejutan termasuk susunan muzik, lagu terbaik Wings yang akan diolah mengikut kesesuaian orkestra,” katanya.
Konsert berdurasi dua jam setengah itu cetusan idea Bombbay dan gitaris Wings, Joe yang mahu menghasilkan karya persembahan mereka ke tahap lebih tinggi.
Joe berkata, Wings sudah lama merancang tampil dengan persembahan eksklusif, namun baru kini mendapat peluang.
“Setelah 25 tahun, kita bersedia sepenuhnya dan ini masa bersesuaian Wings tampil di IB.
“Saya berharap konsert ini menjadi sejarah dan dikenang peminat,” katanya.
Konsert Opera Hidup Bersama OSK bukan sahaja menampilkan barisan terkini Wings, Awie, Joe, Eddie dan Black sebaliknya mengumpulkan semula bekas anggota lama, Shah (gitaris), Jojet (drummer) dan dua bekas vokalis, Mus serta Mel.
Tiket berharga RM65 ke atas dan untuk maklumat lanjut layari laman web IB.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: