MENDAPATKAN Ijazah Kedoktoran mungkin bukan impian semua orang. Bukan mudah memperoleh segulung dokumen pentauliahan yang memerlukan pengorbanan besar termasuk meletakkan keluarga dan kerjaya di tempat kedua demi menjamin kejayaan cemerlang dalam jurusan pilihan masing-masing.
Seperti Dr Ahmad Riza Ghazali, anak Melayu kedua yang berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan Geofizik di universiti terkemuka di Eropah, iaitu Delft University Of Technology (UT Delft), Belanda yang juga merupakan salah sebuah institusi sains sivil dan teknologi bertaraf tinggi.
Menurutnya, penggunaan gelaran ‘Dr’ itu dirasakan cukup kekok, sebaliknya Ahmad Riza lebih selesa dengan panggilan ‘Ahmad’ seperti sebelumnya.
“Mungkin di Malaysia, orang pandang gelaran seperti itu. Tapi bagi saya, ia hanya gelaran yang mengiktiraf kelayakan saya dalam bidang geosains,” katanya kepada Mingguan mStar di Bangi, baru-baru ini.
Kejayaan Ahmad Riza, 35, bukan sahaja kerana PhD beliau dalam bidang Pengimejan Seismik Geofizik, sebaliknya lebih kepada kecemerlangannya menamatkan pengajian dalam jangka masa pantas sehingga mencipta rekod sebagai penuntut yang menghabiskan PhD dalam waktu paling singkat dalam sejarah UT Delft iaitu empat tahun.
Graduan PhD terpantas sebelum ini menghabiskan keseluruhan program tersebut dalam tempoh empat tahun tiga bulan.
Menariknya, Ahmad Riza terpaksa berhempas pulas menjaga isterinya yang baru selamat melahirkan anak kembar bongsu mereka ketika sibuk menyiapkan tesis akhir sebagai keperluan utama untuk mendapatkan Ijazah Kedoktorannya, awal tahun ini.
“Memang pelbagai cabaran kami tempuhi. Selain menguruskan lima anak kami dan menyiapkan tesis, kami sekeluarga juga tidak mempunyai kereta, sebaliknya hanya berbasikal sebagai satu-satunya pengangkutan kami di sana.
“Pun begitu, saya kira kami amat bernasib baik. Isteri merupakan suri rumah sepenuh masa dan banyak memberi sokongan moral, begitu juga saudara-mara lain terutama senior dan bos di Petronas yang banyak memberi galakan agar saya mengambil PhD,” katanya.
Beliau yang merupakan pakar geologi Jabatan Teknologi Sub-Permukaan, pusat Kajian Petronas sudah berkhidmat selama hampir 12 tahun bersama syarikat petroleum negara itu.
Pun demikian, Ahmad Riza memberitahu, ketika di bangku sekolah, dia bercita-cita menjadi doktor perubatan.
Sehinggalah keputusannya benar-benar nekad apabila menyedari potensi sebenar bidang geosains dan melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Leicester, United Kingdom (UK).
“Selepas berkhidmat dengan Petronas, syarikat itu membuka peluang kepada kakitangannya yang layak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pilihan masing-masing di bawah Program Pembangunan Kakitangan (SDP).
“Ketika itu saya sudah tetap hati, walaupun sebelum itu berjanji dengan seorang rakan untuk mengambil kedoktoran perubatan. Hari ini, beliau merupakan pakar di Hospital Manchester. Tetapi saya tidak menyesal, inilah yang saya inginkan,” tegas Ahmad Riza.
Kini, beliau merupakan satu-satunya kakitangan Pusat Kajian Petronas berbangsa Melayu yang memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang geofizik.
“Kita memasuki era baru. Malangnya, kita masih terlalu bergantung kepada kepakaran dan tenaga asing. Mungkin juga ini disebabkan kurangnya minat atau pendedahan generasi muda kita terhadap bidang itu.
“Malah institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia juga tidak menawarkan subjek geofizik tulen seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang mempunyai jurusan hampir sama tetapi tidak memperincikan kepada kajian seismik, contohnya,” jelasnya lagi.
Kata Ahmad Riza, beliau amat menghargai sokongan Petronas dalam mempertingkatkan kepakaran kakitangannya agar lebih maju dan berdaya saing dalam industri minyak dan gas (O&G).
Usaha itu, katanya turut mendapat perhatian negara luar dan organisasi O&G lain di seluruh dunia seperti hasil tesisnya bertajuk True Amplitude Seismic Imaging Beneath Gas Clouds yang dijadikan sebagai salah sebuah rujukan untuk tujuan penyelidikan.
“Sebenarnya negara mempunyai sumber tempatan yang bagus, masalahnya bukan semua mempunyai kemahuan atau kesungguhan tinggi untuk mendalami sesuatu bidang kritikal.
“Yang penting adalah individu itu perlu percaya pada diri sendiri. Lebih-lebih lagi anak Melayu kita sendiri, ada yang takut pada Matematik atau Sains tetapi jika anda yakin, semua itu boleh dilalui demi menggapai sesuatu yang lebih besar,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, cintanya terhadap bidang geofizik amat mendalam. Sekiranya kerjaya di Petronas tiba di garisan penamat satu hari nanti, Ahmad Riza ingin menyumbangkan kepakaran beliau kepada generasi baru.
“Siapa tahu, mungkin lepas pencen saya bergelar profesor di IPT tempatan dan mengajar geofizik kepada mahasiswa tempatan pula,” katanya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: