IA KELIHATAN berbunyi seperti teori asas ekonomi tetapi hakikatnya kini ialah, permintaan untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah melebihi penawaran.
“Saya pada mulanya seperti kurang percaya tetapi sejak saya menjadi Menteri Pertahanan, saya sendiri telah menerima surat permintaan daripada individu lepasan sekolah dan juga ibu bapa yang bertanyakan apakah ada cara lain untuk mereka menyertai PLKN,” kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu temu ramah khas yang diadakan di Kementerian Pertahanan Isnin lalu.
Menurut Zahid, kini untuk setiap pengambilan, pihak sekretariat dan pejabat menteri sendiri menerima tidak kurang daripada 3,000 pertanyaan daripada mereka yang tidak tersenarai yang ingin tahu sama ada mereka boleh menyertai latihan melalui pengambilan kedua atau apa cara sekali pun.
“Apa yang dapat kita lakukan ialah untuk memenuhi hasrat mereka yang berminat jika ada yang tidak dapat menyertai kem latihan atas sebab-sebab kesihatan, atas sebab sesuatu yang tidak dapat dielakkan atau jika ada yang menangguhkan latihan atas ke tahun berikutnya,” ujar Zahid.
PLKN dilancarkan pada Februari 2004 antara lain adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan semangat cintakan negara di kalangan lepasan sekolah. Ia juga mempunyai objektif untuk mengingatkan generasi muda tentang sejarah perjuangan dan cintakan negara.
Fungsi ketiga PLKN ialah untuk mengubah sikap golongan muda daripada negatif kepada positif melalui kaedah pembelajaran dalam kelas dan juga praktikal di luar kem dan keempat ialah untuk menanam semangat kesukarelawanan agar mereka bersedia untuk melakukan kerja-kerja kesukarelawan di kalangan masyarakat dan bergaul dengan masyarakat serta menjadi pemangkin kepada perubahan. Dan yang kelimanya ialah untuk mewujudkan satu generasi baru Malaysia yang komited kepada dasar-dasar dan juga pelaksanaan polisi negara.
Kata Zahid, jika ditanya apakah lima model yang diterapkan ini berjaya mengubah sikap generasi muda negara, jawapannya ialah ya dan tidak. Kata Zahid adalah sukar untuk diukur dalam jangkamasa sekarang tentang keberkesanan program ini secara keseluruhannya kepada masyarakat sehinggalah generasi yang telah melalui program ini benar-benar menjadi pemangkin di dalam masyarakat. Walaupun begitu, kata Zahid, kajian yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati, aspek pencapaian daripada PLKN ini melebihi 86 peratus.
“Kita ada lebih 60,000 responden yang menjawab soalan kaji selidik yang telah dilakukan ke atas lepasan PLKN, ibu bapa, majikan dan orang ramai untuk melihat sejauh manakah program ini memberi kesan kepada para pelatih. Kesan kepada individu amat jelas tapi kesan kepada masyarakat belum boleh diukur lagi atau dirasai.
“Hasil kajian itu juga mendapati bahawa ada cadangan supaya program latihan ini dipanjangkan. Kita ambil contoh di Korea Selatan, kursus yang sama berjalan selama tiga tahun manakala di Singapura selama setahun tapi kita cuma tiga bulan. Jadi ada cadangan supaya kita mengambil langkah yang serupa tetapi akhirnya semua ini kembali kepada soal kewangan dan kos. Implikasi kewangannya sangat besar jika kita mahu mengikuti model negara-negara berkenaan,” tegas Zahid.
Pada masa yang sama, jelasnya, acuan PLKN juga berlainan daripada kedua-dua negara berkenaan. Satu perkara yang jelas, katanya ialah kalau dahulu ramai yang menolak daripada menyertai PLKN sehingga terpaksa diwujudkan undang-undang yang menghukum atau mendenda mereka yang ingkar menyertai program ini tetapi sekarang dalam permintaan telah melebihi penawaran.
“Jadi tentu ada sesuatu yang baik yang memungkinkan generasi lepasan sekolah sekarang memohon untuk menyertai program ini secara sukarela terutamanya ibu bapa dan juga individu itu sendiri. Malah saya sendiri menerima begitu banyak surat daripada individu yang bertanyakan apakah ada ruang atau saluran lain untuk mereka menyertai kem latihan walaupun nama mereka tidak tersenarai. Malangnya dalam banyak kes seperti ini kita tidak dapat memenuhi permintaan individu ini kerana masalah tempat yang terhad dan juga soal kewangan kita yang tidak mengizinkan,” jelas Zahid. Elemen kebersamaan antara kaum Kerahan tenaga tidak bersesuaian untuk Malaysia sebab negara mempunyai pasukan keselamatan serta organisasi keselamatan yang kukuh yang menjadi elemen utama kepada “program hanruh” atau pertahanan menyeluruh.
“Kita tidak kurang orang yang mahu menyertai pasukan keselamatan. Pendekatan kita ialah menyeru kepada semua kaum agar menyertai pasukan keselamatan kita. Oleh yang demikian PLKN bukanlah penyelesaian yang holistik kepada permasalahan pertahanan menyeluruh ini tetapi ia merupakan elemen utama yang kita sediakan kepada lebih kurang 120,000 lepasan sekolah menengah setiap tahun untuk berada dalam pasaran kerja.
“Melihat kepada stratafikasi sosial, kita akan dapati keutamaan bagi setiap kumpulan etnik atau kaum di negara kita mempunyai pendekatan yang berbeza. Oleh yang demikian kita melihat kepada perlunya diwujudkan satu program yang dapat membentuk satu generasi akan datang yang dapat melihat elemen-elemen kebersamaan antara kaum. Dan program itu adalah PLKN.
“Ini kerana salah satu teras yang diterapkan di dalam modul ialah pemahaman tentang silang budaya antara masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Dan ini telah memberi kesan yang baik khususnya dalam mengikis prasangka kaum dan kita juga harus melihat bagaimana program ini telah membentuk keperibadian yang baik di dalam diri peserta dan individu terbabit,” jelas Zahid.
Menurutnya, ramai peserta yang menghadapi permasalahan keluarga telah dapat diubah cara pemikiran dan sikap mereka dan ini merupakan di antara maklum balas yang telah pihak sekretariat perolehi daripada ibu bapa.
Dan kata Zahid, walaupun ini pada satu sudut memperlihatkan perkembangan positif hasil daripada PLKN tetapi baginya ia masih tidak mencukupi.
“Sebab yang ingin kita lihat ialah perubahan dari segala aspek ke atas seseorang individu itu. Malangnya kita hanya mampu untuk mengambil 20 peratus daripada keseluruhan 120,000 lepasan sekolah menengah setiap tahun,” kata Zahid lagi.
Oleh yang demikian kata Zahid, jika keadaan ekonomi negara mengizinkan, beliau berharap kerajaan akan dapat menambah pengambilan peserta dan menambah jumlah kem yang sedia ada. Sejak PLKN dilancarkan, kerajaan telah membelanjakan RM3.6 bilion khususnya dalam mewujudkan infrastruktur dan juga pembiayaan program.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: