APABILA Kumpulan Syarikat Hektar mengambil alih pusat membeli-belah serantau pertama di Selangor sekitar 2003, ramai menuduh Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn Bhd, Datuk Jaafar Abdul Hamid sebagai gila.
Menurutnya, banyak pihak mempertikaikan keputusan beliau ketika itu untuk mengambil alih Subang Parade dan Mahkota Parade di Melaka dalam suasana kegawatan ekonomi yang menjejaskan bisnes jualan dan pendapatan penyewa premis di kedua-dua pusat membeli-belah berkenaan.
“Apabila timbul persoalan itu, lama-kelamaan saya menjawab ‘to make money’ (untuk membuat duit) kerana saya melihat peluang yang besar lebih-lebih lagi kedua-duanya terletak di lokasi paling sempurna.
“Yang membezakan kejayaan atau kegagalan pusat membeli-belah adalah kesesuaian jenama dan produk jualan yang benar-benar memenuhi permintaan majoriti pengunjung,” katanya kepada Mingguan mStar di Subang Jaya, baru-baru ini.
Sebelum melakukan pengambil alihan, beliau menjelaskan, pihaknya menjalankan kaji selidik membabitkan para penduduk di sekitar pusat membeli-belah berkenaan dan mendapati bahawa kemerosotan jumlah pengunjung berpunca daripada beberapa faktor penting, iaitu;
1. Keadaan surau yang terpencil jauh dan suram, mengakibatkan pengunjung Islam enggan meluangkan masa lebih lama untuk menunaikan solat.
2. Tahap kebersihan tandas yang terlalu rendah, gelap dan menakutkan terutama untuk pelanggan wanita.
3. Tempat meletak kenderaan tidak kondusif, sukar mengesan zon dan keselamatan kurang terjamin.
Justeru, kata Jaafar, kerja-kerja pengubah suai dilaksanakan dengan memberi tumpuan terhadap tiga kemudahan tersebut termasuk menghapuskan bayaran untuk memasuki tandas dan menambah Mothers Room untuk kegunaan ibu dan bayi.
Banyak lagi transformasi dilakukan Kumpulan Syarikat Hektar seperti melantik perunding hiasan dalaman untuk menghidupkan kembali kegemilangan Subang Parade yang merupakan tumpuan muda-mudi popular sekitar awal 1990-an.
Pengubahsuaian tandas Subang Parade dianugerahkan tempat ketiga pada Pertandingan Tandas Awam 2006 bagi kategori pusat membeli-belah selain Development and Design Silver Award Win dari ICSC Asia Pasifik pada 2008 menewaskan pesaing dari Australia, Jepun dan Singapura.
Sementara itu, Mahkota Parade pula memperkenalkan Bonia dan Carlo Rino pada bulan lalu selain M-Square menampilkan Stars Archery, IT Hypermarket dan Al-Ikhsan yang merupakan cawangan terbesar seumpamanya di Melaka.
“Kesemua inisiatif ini bertujuan menempatkan setiap pusat membeli-belah sebagai pusat hiburan keluarga dalam pasaran tersendiri yang meningkatkan jumlah pengunjung sekali gus memberi manfaat kepada para penyewa untuk jangka masa panjang,” jelasnya.
Transformasi Subang Parade oleh Hektar, kata Jaafar merupakan keputusan strategik untuk mengubah konsepnya kepada pusat membeli-belah kejiranan atau neighbourhood mall.
Seperti Mahkota Parade, Subang Parade berada di lokasi baik untuk memberikan perkhidmatan kepada para penduduk di dalam dan sekitar Subang Jaya lebih-lebih lagi dengan kepesatan pertumbuhan hartanah dan industri di kawasan berkepadatan tinggi itu.
Manakala strukturnya yang dibina lebih 20 tahun lalu oleh arkitek dari Amerika Syarikat (AS) pula masih dilengkapi ciri-ciri moden dan praktikal untuk ruang pengubahsuaian lebih berkesan di masa hadapan.
“Keunikan pusat membeli-belah adalah fleksibiliti untuk mengoptimumkan campuran penyewa menerui penambahbaikan aset, amalan perniagaan baik dan inisiatif lain yang akan dipertingkatkan dari masa ke semasa,” tambahnya.
Jaafar yang berpandangan jauh dan kritis mengenai pusat membeli-belah hampir membuatkan kita terlupa bahawa beliau asalnya datang dari latar belakang yang jauh berbeza, iaitu kejuruteraan selaku Pengarah Urusan United Engineers Malaysia Berhad (UEM), sebelum ini.
Beliau bertanggung jawab mengendalikan projek penswastaan termasuk Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), jambatan Pusat Pinang, Linkedua, Kualiti Alam dan Kompleks Sukan Negara.
Sehinggalah pada 2002 apabila Jaafar menubuhkan Kumpulan Hektar dan anak syarikat, Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) empat tahun selepas itu bagi memfokuskan terhadap aktiviti perniagaan runcit khusus memenuhi golongan pertengahan menggunakan amalan perniagaan baik.
“Sebelum bersara pada tahun 2000, saya melancong dan mengunjungi pusat-pusat membeli belah seluruh dunia termasuk Bluewater di luar London dan Fashion Island di pinggir Los Angeles selain Florida, Hawaii, Eropah dan Dubai.
“Di AS, amalan perniagaan baik dilaksanakan secara meluas. Apabila memulakan langkah dalam bidang ini di Malaysia, kami cuba mengintegrasikan amalan tersebut ke dalam konteks pasaran tempatan,” ujar beliau.
Menurut Jaafar, untuk berbuat demikian, pihaknya harus mendalami budaya tempatan dengan lebih baik sebelum merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) bersesuaian agar benar-benar menepati konteks Malaysia.
Sebagai individu yang celik teknologi dan gemarkan gajet terkini, Jaafar juga sering mengikuti perkembangan industri menerusi iPad. Disebabkan kecenderungan beliau itu juga, beliau mencetuskan idea untuk menyediakan ruang kepada para peniaga menerusi blog dan Facebook.
“Program ini khas untuk usahawan dalam talian, hanya ikuti Subang Parade melalui Facebook dan anda juga boleh berpeluang menyertai bazaar jualan kami,” katanya.
Untuk maklumat lanjut layari laman sesawang http://www.hektargroup.com/subangparade/index.php atau Subang Parade di Facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: