|
KELANCARAN dan kesempurnaan sebuah acara anugerah bukan hanya terletak kepada pihak produksi yang menerbitkannya.
Tetapi, pengacara juga memainkan peranan yang cukup besar bagi memastikan acara berjalan dengan baik tanpa mengundang rasa bosan dan jelik kepada penonton.
Anugerah Skrin (ASK) anjuran TV3 yang lebih sedekad diadakan sering kali berhadapan dengan pemilihan pasangan pengacara yang dilihat sukar untuk memberikan impak kepada rancangan tersebut.
Semuanya dapat dilihat daripada kegagalan beberapa gandingan yang diberi tanggungjawab untuk menerajui ASK yang dilabelkan sebagai anugerah penuh prestij itu.
Untuk tahun ini, TV3 telah membuat keputusan yang cukup berani apabila menggandingkan Vanidah Imran atau Vee bersama Awal Ashaari.
Pemilihan kedua-dua selebriti terkenal itu diumumkan pada sidang akhbar ASK 2010 yang berlangsung di Hotel Empire, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Bukan mahu menidakkan kebolehan kedua-dua figura popular itu, tetapi, persoalannya kini mampukah Vee dan Awal menghidupkan perjalanan ASK 2010 selama dua jam setengah itu?
Kalau dilihat kepada portfolio Awal, memang tidak dapat dinafikan lagi kemampuannya dalam mengacarakan rancangan berbentuk hiburan dan muzikal.
Tetapi, untuk rancangan sebesar ASK 2010, mampukah dia membuktikan versatiliti sebagai seorang pengacara generasi baru yang dilihat dapat pergi jauh di dalam industri?
Sementelah gandingannya pula adalah Vee yang cukup terkenal akan kehebatannya di pentas teater, drama dan juga filem. Adakah Vee juga dapat melunaskan tugasnya dengan baik?
Apatah lagi, dia baru ditabalkan sebagai pengacara Nona yang baru dan di sinilah terletaknya cabaran Vee untuk menguji kredibilitinya sebagai seorang pengacara serta menyakinkan masyarakat terhadap bakatnya.
Sebagai seorang yang sudah lama dalam bidang seni, dengan jujur Vee memberitahu, sebetulnya dia memang berasa gementar dan terperanjat apabila namanya diumumkan sebagai pengacara ASK2010.
Dalam masa yang sama juga, isteri kepada Rashidi Ishak ini melahirkan rasa bangga dan berbesar hati apabila diberi kepercayaan oleh stesen televisyen nombor satu negara itu.
Apabila memikirkan seolah-olah menjadi satu trend seorang pengacara yang mengemudikan acara anugerah di negara ini yang perlu membuat lawak, Vee sedar akan kekurangan dirinya dalam aspek itu.
“Saya sudah jelaskan kepada TV3 yang saya ini tidak pandai untuk mencipta lawak spontan jika itu yang mereka mahukan dalam menghidupkan ASK 2010. Tetapi, apabila difikirkan semula, pasti ada sebab mengapa saya yang dipilih tahun ini.
“ASK 2010 adalah tentang anugerah yang berprestij. Jadi, saya ikut arus itu dan berusaha memainkan peranan sama prestijnya seperti anugerah itu sendiri,” kata Vee yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Filem Terbaik menerusi The Red Kebaya pada ASK 2007.
Keserasian semula jadi
BEGITU juga dengan Awal yang tidak menyangka namanya dipilih sebagai pengacara anugerah yang mengiktiraf karyawan drama dan filem tanah air itu.
Jelas anak jati Kuala Lumpur itu lagi, dia dan Vee dipanggil oleh TV3 untuk menjalani uji bakat sama seperti nama-nama yang dipilih oleh stesen itu.
Selepas menjalani saringan peringkat pertama, Awal kemudiannya digandingkan dengan seorang artis wanita popular untuk menguji keserasian antara mereka.
Entah bagaimana, sementara menunggu giliran, Awal secara tiba-tiba menghampiri Vee yang turut berada di bilik rehat itu lalu menyuarakan hasrat mahu mencuba untuk mengacara bersama.
“Daripada situ, keserasian itu timbul dengan spontan dan ia lahir secara semula jadi antara saya dengan Vee. Saya percaya gandingan kami untuk ASK 2010 ini mampu melancarkan perjalanan anugerah itu nanti.
“Setidak-tidaknya, penonton diberi senario yang baru apabila saya dan Vee dipilih sebagai pengacara ASK 2010,” ujarnya penuh diplomasi.
Bagi Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar pula, pihaknya memang mahu memberi peluang kepada muka-muka baru dalam mengacarakan ASK.
“Kerana itu, kami yakin dan sanggup mengambil risiko dengan menggandingkan Vee dan Awal untuk ASK 2010. Kalau kita tidak memberi peluang itu, masakan kita tahu kebolehan mereka untuk menerajui anugerah berprestij seperti ini,” ujarnya optimis.
Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya yang mewakili RTM serta Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar selaku wakil Astro.
Tidak ketinggalan, Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin; Penerbit ASK 2010, Nurhul Huda Khalid dan Pegawai Operasi Procter & Gamble Malaysia dan Singapura, Ellie Xie.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: