Thursday, November 18, 2010

Wawa, Afiza reka Dolce Pattini


Wawa (kiri) dan Afiza berbangga dengan kasut rekaan mereka, Dolce Pattini.


OBSES kepada kasut bukan sesuatu yang baru dalam jiwa Siti Azura Shari. Ia sudah lama. Malah sejak zaman remaja lagi dia suka membeli kasut. Kasut-kasut yang dibelinya itu pun pada mata orang lain mungkin tidak sanggup dipakai tetapi pada pandangan Siti Azura atau Wawa, kasut tersebut mempunyai keistimewaan.

Setiap pasang kasut tersimpan dalam kotak-kotak yang tersusun di rumahnya memang unik dengan warna-warna terang, rekaan berbeza dan pelbagai bentuk.

Sehingga kini, Wawa mempunyai koleksi lebih daripada seratus pasang kasut. Setiap pasang kasut tersebut dijaga baik dan disimpan dalam kotak apabila tidak dipakai.

Selain membeli, dia turut menghasilkan rekaan kasut sendiri yang kemudiannya akan ditempah pada tukang kasut yang telah biasa dengannya.

Minat menghasilkan rekaan kasut juga telah membuatkan Wawa terfikir untuk memulakan perniagaan kasut. Berkongsi dengan rakannya, Nurhafizah Jaafar Sidek atau Afiza, mereka berdua membuka kedai kasut sendiri yang terletak di Wisma Central, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Walaupun kedai mereka yang dinamakan Shoes Connexxion itu kecil sahaja namun kebanyakan wanita yang lalu di hadapannya pasti akan menoleh melihat kasut yang dipamerkan.

Menamakan kasut-kasut rekaan mereka sebagai Dolce Pattini - perkataan Itali yang bermaksud kasut cantik - kata Wawa, mereka mencipta kasut itu dengan minat mendalam dan penuh kecintaan.

''Semasa menghasilkan rekaan, kami akan sama-sama berbincang mengenai rekaan tersebut seperti bahan yang digunakan, ketinggian tumit, perhiasan, warna dan sebagainya.

''Namun apa yang lebih penting ialah kami akan pastikan bahawa kasut Dolce Pattini kami ini nampak bergaya, keselesaan paling penting dan mesti nampak glamor,'' kata Afiza ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Wawa, setiap wanita mempunyai minat tersendiri terhadap kasut. Terdapat antara mereka yang mahukan kasut yang nampak seksi, cantik dan lain daripada yang lain. Mereka tidak mahukan kasut yang banyak dijual di kedai kasut di pusat-pusat membeli-belah kerana ramai yang akan memakainya.

Menurut mereka, kasut-kasut rekaan Dolce Pattini sesuai dipakai ke pejabat, ke majlis glamor, kasual glamor atau berjalan-jalan.

Terdapat pelbagai bentuk, rekaan dan warna. Ada yang bertumit tinggi, bertumit baji, bertumit rendah dan leper. Ada juga yang berbentuk gladiator, open toe, peek toe dan sebagainya.

Afiza berkata, setiap rekaan kasut hanya dibuat dalam enam saiz, bermula dengan saiz lima hingga sembilan. Bagaimanapun pada masa akan datang, mereka akan menambah kepada saiz empat pula.

''Selepas sesuatu rekaan dihasilkan, kami akan mencari bahan untuk membuat kasut. Kami menggunakan bahan-bahan seperti kulit Paris, kulit Miami, suede dan fabrik sutera.

''Setelah itu, kami akan menghantar rekaan tersebut di kilang sama ada di Malaysia atau luar negara. Tempahan akan siap dalam tempoh sebulan ke atas,'' jelas Afiza.

Tambah Wawa, bagi kasut-kasut yang perlu ditambah hiasan seperti kristal atau rantai, mereka sendiri akan menjahit hiasan tersebut pada kasut.

Contohnya sepasang kasut gladiator yang dihiasi dengan rantai mengambil masa selama 32 jam untuk disiapkan.

Dengan kata lain, kasut yang mempunyai hiasan itu adalah buatan tangan. Pun begitu, harganya mampu dibeli oleh semua kerana dijual antara RM120 hingga RM180.

Selain hiasan yang menarik, Dolce Pattini amat sesuai dengan wanita yang gemarkan kasut-kasut berwarna terang seperti biru, kuning, merah, hijau, jingga selain hitam dan putih.

''Kasut Dolce Pattini turut dijual melalui Internet dan pelanggan boleh membuka facebook kami, dolce.pattini bagi melihat rekaan-rekaan terkini. Kami mempunyai ramai pelanggan di seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak yang membuat pesanan melalui Internet setiap pesanan akan dihantar melalui pos. Tiada sebarang caj tambahan cuma pelanggan membayar caj penghantaran sahaja,'' kata Afiza.

Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kasut Dolce Pattini, boleh menghubungi 012-9155646 atau 017-2045550.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: