Thursday, November 18, 2010

2,115 koperasi sekolah dijenama semula

PETALING JAYA 17 Nov. – Sebanyak 2,115 buah koperasi sekolah di seluruh negara akan dijenamakan semula dengan mempunyai status sendiri yang terasing daripada pengurusan sekolah.

Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, penjenamaan semula ini termasuk mewujudkan unit khas di Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran negeri yang bertanggungjawab menyelia program koperasi tersebut.

‘‘Melalui pendekatan ini ia membuka peluang perniagaan lebih besar kepada koperasi sekolah dengan memberi kebenaran pihak sekolah berurusniaga secara langsung dengan koperasi sekolah tanpa sekatan.

‘‘Di samping itu, peruntukan undang-undang atau pekeliling khusus berkaitan perolehan, pengauditan dan pembiayaan yang menghalang kemajuan koperasi sekolah perlu dipinda atau dimansuhkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Keputusan itu adalah sebahagian daripada resolusi Konvensyen Hala Tuju Koperasi Sekolah 2010 yang berakhir baru-baru ini.

Koperasi sekolah kini mempunyai keanggotaan seramai 2.1 juta orang, syer berjumlah RM17.3 juta dengan perolehan RM195.12 juta setahun serta keuntungan RM25.51 juta.

Abdul Fattah berkata, resolusi itu juga memastikan Angkasa bertindak sebagai perunding yang mengembeleng jaringan aktiviti perniagaan antara koperasi sekolah di setiap negeri dengan koperasi induk itu.

Katanya, insentif tertentu hendaklah diberikan kepada guru-guru dan koperasi sekolah dengan satu jawatan naib presiden hendaklah diberi terdiri dari kalangan guru koperasi.

‘‘Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau Angkasa perlu menyediakan peruntukan atau dana khusus untuk membantu perniagaan koperasi sekolah sehingga RM50,000 dan bantuan ini berasaskan kepada peningkatan peluang perniagaan dan pemberian diselaraskan bagi menilai keperluan masing-masing.

‘‘Apa yang menarik lagi, Kementerian Pelajaran hendaklah mewajibkan semua pelajar sekolah menengah menganggotai koperasi sekolah masing-masing,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: