Thursday, November 11, 2010

Wajah Baru MyTV3

MyTV3 kini berwajah baru

PETALING JAYA: MyTV3 kini berwajah baru dengan kelahiran program 30 minit yang telah bersiaran pada 7 November 2010, pukul 6 petang.

Lebih padat dengan perisian program-program baru, MyTV3 juga mewujudkan satu interaksi dan komunikasi yang lebih rapat bersama ahli-ahlinya di samping menghargai sokongan padu mereka selama ini.

Pelancaran wajah baru MyTV3 telah diadakan di gerai MyTV3 bersempena dengan Karnival Jom Heboh di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang minggu lalu.

Ahli-ahli MyTV3 dijemput untuk meraikannya bersama krew MyTV3, MyTV3 Roverz dan juga artis-artis jemputan seperti Intan Ladyana, Erry Putra, Comel Hotel Mania dan Munir.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Ridzuan, MyTV3 bertujuan memberi pendekatan kepada ahli-ahli untuk menjadi sebahagian daripada warga TV3.

“Setiap ahli ditawarkan keahlian seumur hidup dengan bayaran RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

"Mereka bukan sahaja berpeluang menghadiri acara berprestij stesen itu, malah mereka juga diberikan keutamaan untuk diterima sebagai pelatih stesen TV3 dalam menimba ilmu di bidang penyiaran. Ini merupakan satu inisiatif ideal dan bermakna kepada para penonton setia kami khususnya ahli-ahli MyTV3.”

“Sepanjang penubuhannya, kami amat berbesar hati kerana MyTV3 masih terus menerima jumlah pendaftaran ahli baru yang membanggakan di gerai MyTV3 menerusi Karnival Jom Heboh, aktiviti bersama kolej dan universiti serta pendaftaran SMS.

"Dengan pembaharuan yang dilakukan selepas menukar konsep siaran dari kapsul 5 minit, sehari dua kali kepada siaran program penuh selama 30 minit, kami berharap dapat memberi manfaat maksimum kepada ahli-ahli MyTV3 di seluruh Malaysia,” ujarnya.

Program ini dihoskan oleh personaliti yang tidak asing lagi, Aidid Marcello. Ia memberi peluang kepada ahli-ahli untuk mengikuti perkembangan terkini MyTV3 menerusi empat segmen eksklusif iaitu MyDREAMS, MyMEMBERS, MyDAY dan MyZONE.

Sejak memulakan operasinya secara tidak rasmi di Karnival Sure Heboh (kini dikenali sebagai Jom Heboh) pada tahun 2004, sesi pendaftaran dan pengambilan ahli-ahli baru MyTV3 rancak dijalankan selama 7 tahun. Sehingga kini, MyTV3 masih berdiri kukuh dengan jumlah keahlian hampir 1 juta orang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: