SEIRING dengan usaha kerajaan bagi membasmi masalah buta huruf dalam kalangan rakyat Malaysia, Global Peace Mission Malaysia (GPM) mengambil pendekatan kondusif melalui pementasan teater.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Asri Abdul berkata, pementasan drama itu dibintangi oleh 40 orang kanak-kanak sekolah rendah yang baru sahaja tahu membaca setelah mengikuti program Jom Baca anjuran pihaknya.
Menurutnya, kanak-kanak itu sebelum ini mengalami masalah kurang keyakinan diri dan hilang semangat untuk belajar disebabkan buta huruf.
“Jadi, kita adakan pertandingan pementasan teater ini bagi membantu meningkatkan keyakinan diri pelajar dengan menempatkan mereka di atas pentas dan bercakap di hadapan khalayak ramai.
“Kita harap apabila mereka membaca dan menghafal skrip yang diberikan untuk persembahan ini, ia dapat membantu penguasaan bahasa mereka. Malah, ia membantu mereka memiliki pola ayat yang baik untuk digunakan dalam penulisan dan pertuturan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pementasan drama dalam program Jom Baca yang diadakan di Dewan Persatuan Penduduk Gombak Setia, Selangor baru-baru ini. Acara itu dirasmikan oleh penasihat program tersebut, Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim.
Asri berkata, program Jom Baca itu disediakan secara percuma kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik bermula sejak tahun 2006 lagi. Sehingga kini, lebih 700 orang kanak-kanak kini sudah boleh membaca melalui program berkenaan.
“Kami memberi tumpuan kepada kanak-kanak tahun empat hingga enam di kawasan daerah Gombak memandangkan pelbagai kekangan yang dihadapi terutamanya dari segi sumber kewangan dan logistik.
“Biasanya, kira-kira 60 jam masa diperlukan untuk mengajar mereka. Ketika musim persekolahan, kami mengajar pada sebelah malam dan mengambil masa sehingga tiga bulan manakala ketika musim cuti sekolah kami mampu menghabiskannya dalam masa sebulan setengah sahaja,” katanya.
Menurut Asri, ini merupakan kali pertama pihaknya mengadakan pertandingan pementasan teater yang diserapkan ke dalam Program Jom Baca. Ia dilihat sebagai satu peningkatan dalam program tersebut.
“Kini, kami tidak lagi hanya mengajar kanak-kanak membaca, tetapi juga memberi peluang dan pendedahan kepada kanak-kanak ini untuk menonjolkan bakat mereka,” katanya.
Orang ramai dan badan-badan korporat yang berminat dalam program tersebut atau ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi GPM di talian 03-6188 3230.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: