Saturday, November 20, 2010

Sukan lasak orang muda




DERUMAN enjin jentera pacuan empat roda (4x4) memecah hening pagi di kawasan Ladang Getah, Sokor, Tanah Merah, Kelantan. Walaupun kesejukan embun pagi masih terasa, namun keterujaan jelas terpancar pada wajah para pemandu yang tidak sabar untuk menakluk rimba.

Kelihatan sembilan buah kenderaan Mitsubishi iaitu Pajero, Triton, Isuzu Trooper, American Jeep dan Toyota Land Cruiser yang siap diubah suai sedia dipandu keluar daripada keselesaan jalan-jalan berturap.

Misi mereka adalah untuk melakukan tinjauan selain mencari trek-trek baru untuk Ekspedisi Gonzales VIII 2010 yang dianjurkan di Kelantan pada setiap tahun. Ekspedisi itu melibatkan beratus-ratus buah kenderaan dan menarik hampir seribu penyertaan daripada peminat sukan lasak itu.

Penulis bersama jurugambar, Zulhanifa Sidek tidak melepaskan peluang menyertai ekspedisi tersebut selain ia merupakan pengalaman pertama kami berkelana di belantara.

Ketika tiba di lokasi semua peserta perlu berkumpul, sangka penulis, sukan lasak seperti 4x4 pastinya disertai oleh golongan elit terutama mereka pada usia pertengahan yang cuba mencari kepuasan dan ketenangan di hutan.

Selain itu, kenderaan pacuan empat roda yang digunakan mencecah puluhan ribu ringgit termasuk proses modifikasi serta penambahan peralatan.

Namun, apa yang mengejutkan penulis, aktiviti pacuan empat roda itu berjaya menarik minat ramai remaja dan belia yang gemarkan cabaran lasak.

Cabaran lasak

Meskipun berumur dalam lingkungan 20 hingga 26 tahun, tetapi mereka sudah memiliki jentera yang lengkap. Bahkan, rata-rata memberitahu itu bukan kali pertama mereka masuk ke dalam hutan, malah ada yang sudah menceburi sukan itu di antara dua hingga tiga tahun lalu.

Mereka juga sanggup menghabiskan puluhan ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan kenderaan pacuan empat roda pada kos yang tinggi dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti winch, tayar yang sesuai dan beberapa peralatan tambahan lain.


BERJAYA melepasi halangan antara kepuasan kepada penggemar sukan lasak.


Ketika konvoi memulakan ekspedisi, awan gelap mula menyelubungi selain hujan rintik-rintik yang semakin lebat menjadikan tanah di ladang tersebut becak dan licin.

“Kalau hujan lebat lagi best, mesti mencabar”, celah salah seorang peserta ekspedisi yang raut wajahnya tidak sedikit pun memperlihatkan kebimbangan berbanding penulis yang baru kali pertama menyertainya.

Habis puluhan ribu

Di dalam kenderaan bersama penulis hari itu ialah Mohd. Zafif Mohd. Zain, 26, seorang kakitangan swasta yang sudah lebih dua tahun menceburi sukan lasak itu. Mohd. Zafif juga pernah beberapa kali menyertai ekspedisi seperti Gonzales.

Beliau memiliki dua buah jentera pacuan empat roda iaitu Jeep Cherokee dan Suzuki Jimny SJ413 serta menghabiskan puluhan ribu ringgit demi minat terhadap sukan tersebut.

“Saya mungkin kena jual Cherokee tu sebab nak baiki yang satu lagi. Jimny saya terbalik dan rosak teruk ketika menyertai ekspedisi sebelum ini.

“Modal nak baiki tu agak tinggi, jadi terpaksalah korbankan salah satu,” katanya yang tidak menganggap kejadian kenderaan yang dipandunya terbalik itu sebagai pematah semangat untuk tidak meneruskan hobinya itu.

Menurut Mohd. Zafif, kerana minat dia tidak kisah membelanjakan kos yang banyak untuk sebuah pacuan empat roda bagi menyertai ekspedisi.

“Disebabkan minat, nak buat macam mana, habis banyak pun tak apa, janji hati puas,” ujarnya yang sudah memiliki seorang cahayamata.

Seorang lagi pemuda, Rahisham Abdul Ghani, 23, memberitahu, beliau kini berbangga kerana sudah memiliki pacuan empat rodanya sendiri dan menghabiskan hampir RM25,000 untuk mencapai impiannya memiliki kenderaan tersebut.

“Puas hati sangat. Tiga tahun dulu saya hanya tumpang kereta orang, jadi pembantu pemandu tapi sekarang saya boleh pegang stereng kereta sendiri.

“Saya berniaga secara kecil-kecilan, duit keuntungan semua saya simpan sebab nak beli kenderaan ni. Sanggup ikat perut janji impian saya tercapai,” ujarnya yang memiliki sebuah Mitsubishi Pajero model L047.


KOMUNIKASI yang baik antara resipi untuk berjaya melepasi halangan.


Bagi peminat sukan itu, bukit-bukau, lurah-lurah air yang dalam, selut paras pinggang dan kenderaan tersangkut bukan satu masalah tetapi bonus dalam mencari keseronokan mencabar tabii alam.

Semangat berpasukan

Timbalan Presiden eRAT 4x4 Adventure Team, Leong Low Chaw, 42, memberitahu, kepuasan menyertai sukan lasak itu hanya boleh dirasai oleh mereka yang mengalami dan merasai sendiri pengalaman tersebut.

Katanya, sukar untuk digambarkan betapa seronoknya apabila berjaya melepasi halangan-halangan semula jadi seperti lurah-lurah air, sungai dan melalui kawasan lereng bukit yang mencabar.

“Off roading ini bukan sekadar hobi tetapi lebih kepada gaya hidup yang penuh dengan cabaran. Mereka yang benar-benar mahukan cabaran pastinya puas dengan apa yang mereka lalui sepanjang ekspedisi.

“Ia bukan sekadar mengejar cabaran di sepanjang laluan tetapi setiap aktiviti juga sarat dengan nilai-nilai positif yang boleh dijadikan teladan dalam kehidupan seperti keakraban dan semangat berpasukan adalah perkara utama dalam setiap kumpulan,” ujarnya.

Jelas Low Chow, memandu dalam belantara tidak sama seperti di jalan raya kerana untung nasib seseorang banyak bergantung kepada rakan-rakan dan sikap bantu-membantu.

Walau bagaimanapun, Low Chaw tidak menafikan bahawa melawan tabii alam di perut belantara bukan sekadar memerlukan kemahiran dan semangat yang kental tetapi ia juga mustahil dilakukan tanpa disiplin yang tinggi.


KEPUASAN jelas tergambar pada wajah para peserta yang melakukan tinjauan trek-trek baru Ekspedisi Gonzales.


“Semua peserta ada peranan masing-masing, bukan sahaja pemandu tapi semua yang berada di dalam kenderaan ada tugas tersendiri. Komunikasi yang baik antara mereka amat penting untuk memastikan kenderaan mereka berjaya melepasi halangan.

“Apa yang menggembirakan, saya melihat sambutan terhadap sukan ini semakin menggalakkan, bukan sahaja daripada golongan pertengahan tetapi para remaja dan belia,” jelas Low Chaw.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: