Saturday, November 20, 2010

Gaya hospitaliti Kota Kinabalu


HOTEL Promenade Kota Kinabalu menawarkan kemudahan yang serba lengkap dengan pemandangan Laut China Selatan bagi kebanyakan unit penginapannya.


PERANG Dunia Kedua hampir memusnahkan Kota Kinabalu atau lebih dikenali sebagai Jesselton suatu ketika dahulu.

Namun, itu kisah 70 tahun yang lalu. Pembangunan pesat menukar statusnya daripada hanya sebuah bandar kecil kepada sebuah bandar raya. Kini, Kota Kinabalu diiktiraf sebagai sebuah pusat industri dan komersial yang paling berkembang di Malaysia Timur.

Di samping kemakmuran ekonominya, bandar raya itu juga mempunyai pelbagai tarikan istimewa khususnya dalam sektor pelancongan. Saban tahun ia menerima ribuan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu melihat kepelbagaian flora dan fauna, keindahan taman laut atau meneroka keunikan sejarah dan budaya masyarakatnya.

Tidak hairanlah, banyak hotel dan resort tumbuh bak cendawan selepas hujan di sekitarnya. Salah satu daripadanya adalah Hotel Promenade Kota Kinabalu.

Kedudukannya yang terletak di tengah-tengah bandar raya dan kawasan komersial Api-Api Centre membuatkan hotel itu tidak pernah sunyi tanpa tetamu.

Pengunjung bebas membeli-belah, mengunjungi pusat hiburan, menikmati makanan lazat, berurusan di institusi kewangan dan pejabat berhampiran atau sekadar melihat panorama Laut China Selatan di hadapannya.

Banyak perubahan

Sejak dibuka, hotel bernilai RM250 juta itu mengalami banyak perubahan dari segi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan. Tidak hairanlah ia menjadi pilihan penginapan bagi golongan korporat dan pelancong yang bertandang ke bandar raya itu.

Hotel setinggi 12 tingkat tersebut menawarkan 451 bilik dan suit secara keseluruhan. Terdapat beberapa jenis bilik yang ditawarkan bergantung kepada bajet pengunjung bermula daripada Superior (172 unit), Deluxe (182), Suites Junior (52), Promenade Club Floor Rooms (42) sehinggalah kepada Suit Presiden (2) yang mewah.

Menariknya, pengunjung yang menginap di sini disajikan dengan panorama berbeza iaitu keindahan Laut China Selatan yang mengasyikkan atau melihat persekitaran pembangunan pesat bandar raya itu.

Bagi keselesaan pengunjung, setiap bilik dilengkapi kemudahan seperti pendingin hawa, peti ais mini, televisyen satelit, telefon serta kemudahan membuat kopi dan teh dan akses Internet jalur lebar 24 jam sehari.

Jika berasa lapar, usah risau kerana terdapat beberapa kafe, restoran dan lounge yang bersedia menyajikan pelbagai hidangan lazat dan enak mengikut selera pengunjung.

Cuba sendiri pelbagai hidangan yang ditawarkan di Hotel Restoran dan Bar, Kafe Promenade atau Restoran Dynasty. Sebut apa saja menu pilihan sama ada makanan tradisi Barat sehinggalah ke masakan Asia dan tempatan, semuanya sedia dihidangkan.

Alunan muzik

Jika sekadar mahu bersantai bersama teman-teman sambil mendengar alunan muzik live band, bolehlah berkunjung ke Lobby Lounge. Jangan lupa mencuba keenakan kek dan pastri yang dimasak segar setiap hari di Deli Corner.


Sambutan penginapan di bahagian lobi


Tidak sekadar itu, pengunjung boleh mencuba pelbagai kemudahan dan aktiviti riadah yang disediakan di hotel itu. Pengunjung boleh bersenam di gimnasium yang lengkap dengan pelbagai peralatan terkini serta khidmat jurulatih peribadi.

Mahu menjana stamina?

Terdapat kemudahan bilik jakuzi, sauna dan kolam renang untuk tujuan melegakan keletihan.

Spa kesihatan turut disediakan untuk mereka yang mahu

membelai tubuh dan menenangkan minda.

Bagi yang datang secara berkumpulan dan merancang mengadakan jamuan dan seminar terdapat dewan utama iaitu Rafflesia Ballroom yang mampu memuatkan 600 hingga 900 orang pada satu-satu masa dilengkapi dengan kemudahan audio visual. Pihak hotel juga menyediakan beberapa bilik serbaguna iaitu Bougainvilla, Mawar dan Teratai yang terletak di tingkat satu dan tingkat dua.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: