MELAKA - Orang Kampung Holdings (M) Sdn. Bhd. (Orang Kampung), pengeluar pelbagai produk kesihatan, bakal membuka sebuah pusat jualan di Indonesia pada awal tahun depan dalam usaha memperkukuhkan jenama OK di luar negara.
Pengarah Urusan Orang Kampung, Habibul Ajmi Manggar berkata, syarikat milik bumiputera itu mula meneroka pasaran luar negara khususnya di Indonesia sejak lapan tahun lepas.
"Di Indonesia, produk terlaris kami ialah Teh Herba Asli. Kami berharap melalui pusat jualan ini, ia akan dapat mengukuh dan mengembangkan pasaran syarikat di sana," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Habibul Ajmi berkata, dengan pembukaan pusat jualan itu juga, syarikat akan memperkenalkan beberapa produk keluarannya seperti Teh Herba Halia, Teh Herba Limau Purut, Kopi Tongkat Ali dan Kopi Kacip Fatimah di pasaran Indonesia.
Katanya, selain Indonesia, Orang Kampung juga memasarkan produknya di Singapura, Brunei dan Hong Kong serta pasaran di Timur Tengah seperti Dubai, Jeddah dan Arab Saudi.
Menurut beliau, produk berasaskan herba paling mendapat sambutan di Malaysia, Indonesia dan Brunei manakala produk berasaskan minuman kopi popular di Singapura dan Timur Tengah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: