Tuesday, November 23, 2010

Pengalaman ‘Belajar’ Di Penjara

Pelajar turut diberi peluang untuk menguasai kemahiran mengendalikan komputer.

MELANGKAH ke bilik darjah dan makmal komputer di Sekolah Integriti di sebalik tembok Penjara Kajang mengimbas kembali nostalgia penulis bersekolah lebih sedekad lalu.

Pada masa itu, penulis bebas berkawan, bermain bola sepak dan terlibat dalam aktiviti kokurikulum di luar waktu sekolah tanpa batasan masa.

Perbezaannya kali ini pelajar-pelajar di Sekolah Integriti lebih berdisiplin adab dan khusyuk mengikuti pembelajaran yang disediakan.

Apa tidaknya, selain guru yang mengajar di depan, terdapat “guru-guru disiplin” yang memerhatikan persekitaran kelas.

Guru disiplin itu bagaimanapun bukanlah seperti yang di sekolah tetapi pegawai penjara yang segak berpakaian seragam.

Wajah mereka peramah tetapi bertukar bengis apabila ada banduan pelajar yang nakal atau melanggar peraturan. Lebih menggerunkan, warden penjara yang berpakaian celoreng, berberet merah dilengkapi baton, bergerak mundar-mandir di koridor kelas.

Jika pegawai penjara itu umpama guru disiplin, warden penjara tersebut pula menyamai pengetua sekolah menengah penulis dulu yang memegang rotan bersedia untuk melibas punggung pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

Maka tidak menghairankan apabila para pelajar Sekolah Integriti mempamerkan tahap disiplin dan berhemah tinggi. Setiap kali bertembung dengan mana-mana pegawai penjara, mereka akan menyapa dengan ucapan “selamat pagi/tengah hari/petang, tuan”.

Selesai kelas, kedengaran suara pelajar-pelajar: “Terima kasih, cikgu.” Begitu beradabnya banduan muda ini, langsung tidak mencerminkan mereka pernah melakukan apa-apa jenayah.

Namun itulah pengorbanan yang mereka perlu bayar atas jenayah lampau. Mereka belajar di kelas dan makmal komputer yang pintu dan tingkapnya berjeriji besi.

Di makmal komputer pula, segala laman web yang dilayari akan dipantau. Kebebasan mereka adalah terkawal.

Mereka dikawal ketat, jika waktu pagi ialah masa belajar, kelibat mereka adalah di dalam kelas. Dan jika waktu petang ialah waktu beriadah atau bersenam, maka mereka wajib berada di tempat yang disediakan.

Segala perjalanan hidup banduan muda itu adalah berdasarkan jadual waktu yang telah ditetapkan oleh penjara. Kadangkala, penulis merasakan kehidupan mereka umpama robot.

Bagaimanapun, itulah yang membezakan antara Sekolah Integriti dan sekolah biasa yang lain.

Ini kerana Sekolah Integriti mempunyai objektif yang murni untuk mentransformasikan banduan muda ini menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara apabila mereka dibebaskan dan kembali ke pangkuan masyarakat kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: