Tuesday, November 23, 2010

Dobi OKU Bukti Berdikari

Mahir.. Setiap OKU yang bekerja di sini telah diajaar cara-cara untuk mengendalikan sebuah kedai dobi dan pernah menjalani latihan di hotel-hotel terkemuka.

MENGHULURKAN bantuan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) tidak semestinya dilaksanakan dengan memberi sedekah atau wang ringgit semata-mata.

Ditambah pula dengan sikap OKU moden hari ini yang kebanyakannya lebih optimis dan tidak mahu dikaitkan dengan sikap meminta-minta, pastinya bukan sumbangan percuma yang didambakan daripada masyarakat.

Seperti insan biasa, golongan ini juga sebenarnya mahu berdikari dan mencari rezeki untuk menyara diri mereka sendiri tanpa mahu menyusahkan orang lain.

Tertubuhnya OKU Dobi Sdn Bhd, hasil kerjasama tiga pihak iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti perniagaan baru-baru ini nyata memberi sinar baru buat golongan ini.

WorlwidePreneur, Kumpulan Ambank, Rumah Amal Cheshire Selangor dan pengurusan Mid-Valley antara kumpulan yang telah menyahut seruan kerajaan dalam usaha memperkasa ekonomi OKU dengan membuka ruang dan peluang untuk golongan ini keluar dari kemelut ketidakupayaan mereka.

Menerusi projek ini, seramai sembilan OKU telah dipilih untuk mengendalikan keseluruhan operasi di OKU Dobi Sdn Bhd yang terletak di Zon A, aras dua tempat letak kereta pusat beli-belah popular itu.

Keunikan dobi ini terserlah apabila sembilan OKU ini akan melakukan tugas-tugas biasa seorang pekerja kedai dobi bermula urusan di kaunter, mengasingkan, mencuci, mengering, menggosok dan melipat pakaian.“Mereka telah diajar dan pernah menjalani latihan di beberapa hotel seperti Hotel Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dan Hotel Grand Dorsett, Subang.

“Beberapa bulan sebelum bekerja, mereka telah dilatih oleh WorlwidePreneur untuk belajar cara-cara mengendali mesin basuh dan menguruskan kerja-kerja dobi,” kata Pegawai Penempatan Kerja Rumah Amal Cheshire, Mazayu Kasan.

Anuar Firdaus mahu buktikan kepada masyarakat bahawa golongan OKU juga mampu mencari rezeki sendiri.

Menurut Mazayu, OKU Dobi Sdn Bhd dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi sehingga pukul 10 malam. Setakat ini mereka yang terpilih terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, cacat anggota dan Sindrom Down.

Memperuntukkan jadual kerja dua syif dan cuti untuk pekerjanya, dobi yang memulakan operasi pada 25 Oktober lalu menawarkan servis yang sama dengan kedai-kedai dobi di luar sana dengan tawaran harga yang berpatutan.

Bagi mendedahkan golongan ini dengan cabaran sebenar dunia perniagaan dan keusahawanan, mereka tidak akan dibayar gaji oleh majikan.

Pemngarah Perhubungan Awam Korporat Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali (tengah berkaca mata) mewakili bank berkenaan yang menyumbangkan RM25,000 untuk kerja-kerja pengubahsuaian premis Dobi OKU Sdn Bhd

“Hasil yang diperolehi daripada perkhidmatan yang diberi kepada orang ramai itulah yang menjadi pendapatan bulanan mereka,” jelas Mazayu.

Sebagai permulaan, kesemua pihak yang terlibat termasuklah ibu-bapa OKU telah sepakat untuk memantau operasi harian di kedai dobi tersebut.

“Semua pihak begitu teruja dan gembira dengan projek ini terutama ibu-bapa. Mereka setuju meluangkan masa di sini sambil memberi-tunjuk ajar kepada semua pekerja jika diperlukan. Mereka yang menguruskan akaun juga dilantik dari kalangan ibu-bapa,” katanya lagi.

Yakin, iktiraf kerja OKUMENGULAS tentang keberkesanan projek ini, beliau yang berpengalaman dalam menyediakan latihan berbentuk kemahiran terhadap OKU termasuklah dalam bidang bakeri, kraftangan, landskap dan asas komputer yakin dengan kebolehan anak didiknya dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.

Pada masa yang sama, beliau berharap masyarakat dapat menyokong usaha-usaha dan mengiktiraf kerja golongan OKU supaya golongan tersebut mampu menjadi sebahagian daripada masyarakat seterusnya dapat membantu membangunkan negara.

“Cabaran paling besar kita ialah menghadapi persepsi negatif dan prejudis masyarakat terhadap kemampuan OKU. Mereka kena tengok kelebihan OKU, bukan memandang rendah dan melihat kecacatan mereka.

“Dengan peluang dan sokongan masyarakat, barulah OKU dapat buktikan bahawa mereka juga mampu bekerja dan mencari pendapatan sendiri,” katanya.

Anuar Firdaus Rosman, 22, yang pernah mengikuti latihan dalam bidang ini di Hotel UiTM terkejut mendapat peluang sebegini.“Saya boleh buat semua tugas di kedai dobi, kerana sebelum ini pun saya sudah menceburi bidang ini. Jadi tak ada masalah untuk saya bekerja. Saya rasa gembira kerana saya bakal mempunyai pendapatan sendiri,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada ibu-bapa.

Tawaran yang ada turut disambut baik oleh Mohd Syazani Sazali, 23, yang sememangnya meminati bidang perniagaan.

Mengakui agak sukar melakukan kerja sewaktu awal proses latihan, Mohd Syazani yang cacat anggota akhirnya berjaya menyesuaikan diri dengan tugasan yang diberikan.

“Disebabkan saya berkerusi roda, kerja menggantung baju agak susah bagi saya sebab saya kena berdiri. Tapi di sini kena buat semua kerja, susah macam mana pun perlu buat juga,” katanya.

Salina Ali, 28, yang juga berkerusi roda teruja untuk menguruskan perniagaan bersama rakan-rakan yang lain.

“Sebelum ini saya menjahit, tapi kali ini saya akan cuba bidang perniagaan pula,” katanya.

OKU Sdn Bhd mendapat bantuan daripada JKM berupa geran berjumlah RM2,700 kepada setiap peserta dengan jumlah RM24,300 untuk pembelian peralatan, sumbangan kumpulan Ambank untuk pengubahsuaian premis, sumbangan Mid-Valley yang menyediakan premis percuma dan sumbangan dari segi latihan oleh Rumah Amal Cheshire.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: