Thursday, November 18, 2010

Peguam dibunuh depan isteri


DI depan rumahnya di Taman Desa Rishah, Buntong, Ipoh, Balasunderam (gambar kecil) mati dibunuh kelmarin.


IPOH – Seorang wanita hanya mampu menjerit apabila melihat suaminya seorang peguam ditikam bertubi-tubi oleh empat lelaki bertopeng di depan rumah mereka di Taman Desa Rishah, Buntong di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, mangsa, G. Balasunderam, 57, yang cedera parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini empat jam selepas dirawat.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, kejadian berlaku semasa mangsa turun dari keretanya di depan rumah selepas pulang dari pejabat.

“Isteri mangsa L. Pusphalatha, 48, ketika itu berada di dalam rumah dan berlari keluar setelah mendengar bunyi bising itu,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, mangsa yang cedera parah dikejarkan ke HPRB untuk mendapatkan rawatan namun usaha menyelamatkannya tidak berjaya kerana dia mengalami luka yang banyak akibat ditikam dengan pisau rambo.

Balasunderam meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki, G. Somaskantha, 5.

Zakaria memberitahu, empat penjenayah terbabit melarikan diri dengan dua buah motosikal.

“Motif pembunuhan peguam itu masih dalam siasatan dan sehingga petang ini (semalam) belum ada tangkapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: