
KUALA LUMPUR – Tindakan dua pemuda yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini mengundang padah apabila seorang daripada mereka maut selepas kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.45 pagi itu, seorang lelaki yang duduk di sebelah pemandu meninggal dunia dua jam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd. Zulkarnain Abdul Rahman berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di kawasan tersebut cuba menahan sebuah kereta Perodua Kancil untuk diperiksa.
“Malangnya pemandu kereta tersebut enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri.
“Ketika memecut laju, pemandu kereta tersebut melanggar kereta peronda polis,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Zulkarnain, melihat tindakan bahaya itu, anggota polis itu mengejar kereta yang dinaiki dua lelaki itu yang menghala ke Jalan Sultan Ismail di sini.
“Ketika sampai di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail, kereta Perodua Kancil itu telah merempuh pula sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki oleh orang awam menyebabkan kereta itu remuk teruk,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: