
SABAN tahun, setiap kali tibanya musim haji, pastinya lagu berjudul Panggilan Kaabah akan berkumandang di televisyen dan corong radio.
Secara tidak rasmi lagu dendangan penyanyi Indonesia, Nur Asiah Jamil itu menjadi lagu wajib menjelangnya musim haji.
Bagaimanapun, ramai yang tidak mengenali pelopor lagu-lagu nasyid di Indonesia itu terutamanya generasi muda, sementelah dia memulakan kerjaya seninya sejak tahun 1956.
Kini, pada usia 63 tahun, Nur Asiah masih gagah dan aktif dalam bidang nyanyian.
Baru-baru ini, ketika dia menjayakan program “Kahwin-kahwin, Makan-makan” yang berlangsung di Tanah Merah, Singapura, Kosmo! berpeluang menemu bual figura ini menerusi telefon.
Meskipun suaranya hanya kedengaran di corong telefon, jelas sekali membuktikan Nur Asiah merupakan individu yang sangat merendah diri.
Malah, butir-butir perkataan yang keluar daripada mulutnya juga disusun dengan rapi.
Katanya lagi yang mempunyai empat orang anak dan lapan orang cucu itu, dia amat senang hati melihat karya yang dibikinnya sendiri pada tahun 1970 kekal diterima sehingga ke hari ini.
“Sudah 40 tahun lagu tersebut berkumandang setiap kali tibanya musim haji. Sebagai penyanyinya saya rasa bersyukur dan berterima kasih kerana lagu ciptaan saya itu masih mendapat tempat di hati peminat,” ungkapnya.
Sebenarnya banyak cerita dan kenangan sebalik pembikinan lagu Panggilan Kaabah. Lagu tersebut dicipta bukannya untuk mengaut keuntungan sebaliknya dicipta berdasarkan pengalaman dan cintanya kepada Allah.
“Saya memulakan kerjaya nyanyian pada hujung tahun 50-an di Medan bersama kumpulan Gambus Al-Suraya yang juga popular dengan lagu Selimut Putih. Selepas 10 tahun bersama kumpulan tersebut saya ambil keputusan untuk bersara pada tahun 1968.
“Setelah mengerjakan haji pada tahun 1970, timbul pula idea untuk menghasilkan lagu Panggilan Kaabah secara tiba-tiba. Jadi, saya menyanyi semula sebagai penyanyi solo juga dalam genre nasyid,” tuturnya.
Pernah bergelar naib johan dalam pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan di Kuala Lumpur juga pada tahun 1970, Nur Asiah memberitahu, rutin hariannya kini selain memenuhi undangan nyanyian, dia juga sering berulang-alik dari Indonesia ke Kuala Lumpur untuk mengajar nasyid dan al-Quran.
“Saya kerap ke Malaysia kerana ramai teman di sini. Jika, bukan undangan nyanyian pastinya undangan itu berbentuk kelas ibadah,” ujarnya yang telah melahirkan 150 album yang mengumpulkan lebih 500 buah lagu.
Terbaru, menerusi produksi miliknya, Nur Asiah telah menerbitkan sebuah album kelas bimbingan haji khas untuk mereka yang belum pernah menjejaki ke kota suci itu.
“Album ini berbentuk pendidikan dalam lagu. Justeru, kepada mereka yang ada niat untuk pergi tetapi belum bersedia, album ini benar-benar sesuai buat mereka.
“Namun, buat masa ini album tersebut hanya dipasarkan di Indonesia sahaja. Mungkin jika ada rezeki, album itu akan memasuki pasaran di Malaysia,” luahnya yang memasang hasrat untuk berduet dengan mana-mana penyanyi nasyid dari Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: