
UMAT Islam seluruh dunia menyambut hari paling bersejarah di dalam kalendar Islam dengan sambutan Aidiladha yang jatuh pada hari ini bersamaan 10 Zulhijjah.
Pada hari tersebutlah semua umat Islam di dunia dapat memperingati tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah mengorbankan anakanda baginda, Nabi Ismail.
Seiring dengan sambutan Aidiladha tahun ini, TV9 tidak ketinggalan menyusun beberapa rancangan menarik bersesuaian dengan temanya pada tahun ini iaitu ‘Ikhlas’.
Bermula dengan kapsul selama dua minit berjudul Kasih Ikhlas, yang dibawakan oleh seorang pendakwah berpengalaman iaitu Syed Mohd. Norhisyam, menceritakan tentang sejarah Nabi Ibrahim dan keistimewaan di sebalik sambutan Aidiladha.
Sebanyak tujuh episod Kapsul Kasih Ikhlas disiarkan pada hari ini masing-masing pada pukul 10 pagi, 11 pagi, 12.30 tengah hari, 6.30 petang, 7.30 petang, 8.30 malam dan 9.30 malam.
Selain daripada Takbir Raya yang bermula pada malam Aidiladha, beberapa rancangan berbentuk perbincangan agama, bual bicara, drama dan juga dokumentari akan ditayangkan.
Berikut adalah antara rancangan-rancangan yang mewarnai minggu Aidiladha kali ini:
Nasi Lemak Kopi 0 – Aidiladha
(pukul 8 pagi)
![]() |
| |
Program istimewa ini membabitkan ramai hos seperti Aziz Desa, Sharifah Nur dan Sharifah Shahirah.
Antara yang ditampilkan dalam program ini adalah siaran lintas langsung dari Kedah yang meninjau keadaan mangsa banjir dan melihat secara dekat bagaimana mereka meraikan Aidiladha tanpa sebarang persiapan setelah rumah mereka ditenggelami air.
Pada masa yang sama, program bual bicara ini juga mengadakan lintas langsung dari Masjid Kampung Baru dan meninjau acara korban yang dijalankan di sana.
Turut menjadi tetamu istimewa pada pagi itu adalah seorang chef dan seorang ustaz yang akan menerangkan cara afdal pembahagian daging korban. Chef tersebut juga akan menunjukkan cara masakan daging yang boleh dikongsi bersama.
Kak Kiah Serunding
(pukul 12.30 tengah hari)
![]() |
| RAIHAN |
Naskhah yang pernah dicalonkan dalam kategori Drama Terbaik bagi Anugerah Skrin 2009 ini mengisahkan Kak Kiah yang terkenal dengan serundingnya, yang cukup enak.
Kak Kiah selalu memberikan serundingnya kepada jiran tetangga dan gemar melaram kerana baginya dengan berpakaian cantik, ia dapat melariskan penjualan serundingnya.
Suatu hari, Kak Kiah berkunjung ke rumah Salbiah yang juga bakal menjadi besannya.
Kak Kiah berasa iri hati apabila apabila mendapat tahu anak Salbiah iaitu Zaiton pandai membuat serunding dan kebetulan pula serunding Zaiton lebih sedap daripada serunding nya.
Drama menarik ini dibintangi oleh barisan pelakon handalan seperti Kartina Aziz, Rosnah Mat Aris, A.R. Badol, Hasnol Rahmat dan Catriona Ross.
Insha Allah Maher Zain
(pukul 6.30 petang)
![]() |
| MAHER ZAIN |
Berkenalan lebih dekat dengan penyanyi kacak yang berasal dari Lubnan dan kini menetap di Sweden menerusi program Insha Allah Maher Zain.
Penyanyi yang membawa fenomena dalam industri muzik ini mula dikenali dengan memperjuang irama berunsur Islamik di Asia Tenggara dan Eropah.
Ketahui bagaimana dunia hiburan di New York menukarkan dirinya daripada penyanyi rap kepada penyanyi dakwah.
Kisah di sebalik lirik dan lagunya juga memberi kesan mendalam kepada setiap pendengar.
Janji Dengan Najwa
(pukul 9.35 malam)
Drama ini menceritakan pengorbanan seorang bapa setelah kematian isteri tercinta dan seorang abang sulung yang menjaga adik-adiknya.
Kisah ini bermula apabila Pak Uzir yang kematian isteri terpaksa menjalani kehidupan tanpa isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
Pak Uzir mempunyai lima orang anak yang berusia 18 tahun hingga 8 tahun iaitu Alif, Aina, Akma, Ayie dan Afiq. Setiap hari apabila turun ke laut, Pak Uzir akan menasihati anak sulungnya, Alif untuk menjaga adik-adiknya.
Namun pada suatu hari, cuaca amat buruk dan Alif berasa tidak sedap hati. Adik-beradiknya juga turut menangis dan risau tentang keselamatan ayah mereka. Untuk menyedapkan hati, Alif membawa mereka ke jeti.
Adik-adiknya yang tidak memahami mula membuat kesimpulan, ayah mereka telah mati ditelan ombak. Apakah sebenarnya terjadi?
Drama ini menampillkan lakonan mantap Wan Hanafi Su, Fauzi Nawawi, Mohd. Hanis Kamarulazaman dan Ezlisa Loy.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: