KUALA LUMPUR – Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa dan mencederakan 39 yang lain di Kilometer 38 Jalan Genting Sempah, Jumaat lalu, menceritakan detik cemas tragedi itu dan mengapa dia tidak ada lesen memandu.
Mutu juga memohon maaf kepada semua yang ada kaitan dengan kemalangan ngeri itu, lebih-lebih lagi mangsa, keluarga dan sanak-saudara mereka.
Bercakap dari katil wad Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, semalam, Mutu berkata, dia ada pengalaman lima tahun memandu bas dan pernah memiliki lesen memandu, tetapi dibatalkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sejak kira-kira 10 tahun lalu.
“Saya ambil lesen di sebuah pusat latihan memandu berdaftar, tetapi JPJ menarik semula lesen itu kerana ia lesen terbang (tidak sah).
“Sebelum itu saya pun tidak tahu ia lesen terbang," kata pemandu itu yang patah kaki kanan dalam tragedi itu.
Dia mendakwa terpaksa memandu bas, walaupun tidak ada lesen kerana hendak menyara isteri dan tiga anaknya, berumur 10, 11 dan 13 tahun.
“Saya pernah cuba ambil lesen semula, tetapi nama saya sudah disenaraihitamkan kerana belum menjelaskan saman tertunggak.
“Sebab itu saya terpaksa bawa bas untuk mengumpul wang bagi membayar saman dan membeli barang keperluan harian keluarga,” katanya.
Mutu berkata, sewaktu diminta menjadi pemandu kedua bagi membawa rombongan Belia 4B Kampung Siong, Baling, Kedah, ke Genting Highlands dan Kuala Lumpur, dia berat hati, tetapi menerima kerana bayaran RM120 itu agak lumayan.
Dia juga mengambil tugasan itu kerana pemandu pertama penat, setelah baru pulang dari Genting Highlands kerana membawa penumpang lain.
Menceritakan lanjut mengenai kemalangan itu, Mutu mendakwa tali brek bas putus sebelum hilang kawalan dan terbalik ke lorong bertentangan.
“Saya ambil keputusan melanggar pembahagi jalan pada selekoh ketiga. Kalau tidak, bas akan jatuh ke dalam gaung. Kami semua mungkin tidak bernyawa lagi,” katanya.
Mutu berkata, dia kesal dengan apa yang berlaku dan berjanji tidak akan memandu bas lagi.
“Saya minta maaf kepada semua mangsa dan keluarga mereka atas perkara yang berlaku. Saya sedar, saya memandu tetapi tidak ada lesen,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: