‘Takut Bini, Sayang Suami’ sebuah drama komedi bersiri terbitan MIG Production Sdn Bhd bakal menemui penonton 4 November ini merupakan drama 18 episod yang menyelitkan mesej penting yang menekankan keikhlasan dan ketulusan yang perlu ada di dalam sesebuah keluarga bagi menjamin kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.
Drama yang mengisahkan mengenai Kassim yang bertemu Maria ketika menjalani latihan praktikal di sebuah hotel. Kassim yang berperwatakan lucu dan sikap suka membantu orang membuatkan Maria jatuh hati kepada Kassim walaupun Kassim hanyalah seorang pemandu.
Walaupun mendapat tentangan daripada kedua belah pihak, mereka tetap meneruskan hubungan mereka sehingga ke alam perkahwinan dan dikurniakan dua anak.
Setelah beberapa tahun, rumah tangga mereka menjadi tegang setelah Maria dinaikkan pangkat sebagai pengurus besar manakala Kassim kekal sebagai pemandu. Perbezaan jawatan menyebabkan mereka sering bertengkar kerana menunjukkan ego masing-masing.
Maria pula sememangnya terkenal dengan sikap tegas dan garangnya. Di mata orang luar, Kassim bagaikan dibuli isteri. Sungguhpun Kassim mengetahui bahawa isterinya menyayanginya, ego lelaki kadang-kala membuatkan dirinya memberontak. Namun, semakin dia memberontak, semakin teruk pula Maria ‘menghukumnya’.
Pada masa sama, Kassim berkawan baik dengan Senu, seorang lelaki hidung belang, yang juga jirannya. Senu ada dua isteri dan tinggal berhampiran. Hakikatnya, rumah tangga Senu juga selalu tunggang-langgang.
Semua pengalaman yang dilalui pasangan Kassim dan Maria akhirnya menyedarkan mereka bahawa ketidaksempurnaan mereka itu merupakan asas untuk memperbaiki kelemahan diri dalam mencapai kesempurnaan kehidupan berkeluarga.
Menurut Penerbit MIG Production, David Teo, drama terbaru ini membawa mesej dan realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Drama ini juga bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi menyelitkan pengajaran.
“Drama ini sesuai ditonton semua lapisan masyarakat kerana ia mengenai kisah kekeluargaan yang membawa pelbagai ragam,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran drama itu di Sri Pentas, baru-baru ini.
Dibintangi oleh Zul Yahya, Putri Mardiana, Alex Yanz, Farisya Fatin, Sasqia dan Tasha, ‘Takut Bini, Sayang Suami’ akan menemui penonton setiap Khamis dan Jumaat di TV9, jam 9.30 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: