Monday, November 1, 2010

Merapi hambur awan debu 46 minit


GUNUNG MERAPI yang mengeluarkan awan debu dapat dilihat dari Cangkringan, Yogyakarta semalam.


GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi menghamburkan awan debu semalam selama 46 minit sekali gus menyebabkan ribuan penduduk di sekitarnya panik.

Sebelum ini ribuan penduduk tersebut mengambil peluang pulang ke kampung halaman selepas bermalam di pusat perlindungan sementara selepas gunung itu tidak lagi meletus.

Letusan terbaru itu berlaku semasa ratusan anggota penyelamat tiba untuk menghantar bekalan makanan dan memindahkan mangsa-mangsa yang cedera akibat tsumani di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera semalam.

Tsunami itu berlaku pada minggu lalu akibat kejadian gempa bumi bawah laut sekuat 7.7 pada skala Richter.

Bilangan mangsa yang terbunuh dalam letusan Gunung Merapi dan tsunami itu hampir mencapai 500 orang semalam.

Siren dibunyikan manakala terdapat beberapa orang terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan diri semasa Gunung Merapi mengeluarkan awan debu.

Menurut seorang pegawai bencana tempatan, Rusdiyanto, sebahagian orang lagi melarikan diri dengan menggunakan kereta dan trak.

Gunung Merapi itu telah membunuh 38 orang.

Walaupun amaran telah dikeluarkan, ribuan daripada lebih 53,000 orang yang dipindahkan dari zon bahaya bertindak kembali semula ke kampung di sekitar gunung itu semalam untuk melihat haiwan ternakan.

"Ladang saya musnah akibat serpihan gunung itu dan debu tebal. Apa yang tinggal kini ialah beberapa ekor lembu dan kambing," kata seorang mangsa, Subarkah.

Menurutnya, dia perlu membawa rumput untuk memberi makan haiwan ternakannya itu bagai mengelakkan ia mati.

Sejak Gunung Merapi itu meletus pada Selasa lalu, para pegawai berusaha untuk mengelakkan penduduk kampung berada dekat dengan gunung tersebut.

Lebih 2,000 askar dikerah untuk memaksa penduduk meninggalkan kawasan dekat dengan gunung itu kelmarin.

Menurut seorang pegawai dari sebuah agensi pemantau gunung berapi, Subandrio, sejak Sabtu lalu, Gunung Merapi itu telah menghamburkan 63 letusan lahar dan sembilan gas.


GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan satu kawasan yang musnah akibat tsunami di Kepulauan Mentawai, di perairan Sumatera.


"Trend itu menunjukkan bahawa aktiviti gunung berapi itu semakin meningkat," katanya.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan berkata, lapangan terbang di Solo, 40 kilometer ke timur Merapi terpaksa ditutup semalam selama sejam ekoran debu gunung itu jatuh seperti hujan.

Syarikat penerbangan Garuda turut menjadualkan semula penerbangan dari Yogyakarta kerana bimbang debu Gunung Merapi akan merosakkan enjin pesawat, kata jurucakap syarikat tersebut, Pujobroto.

Sementara itu, seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Nelis Zuliastri berkata, jumlah kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai meningkat kepada 449 orang ekoran penemuan berpuluh-puluh mayat.

Seorang lagi pegawai bencana, Ade Edward berkata, sebuah pesawat C-130, enam buah helikopter dan empat bot panjang membawa bekalan makanan dan kemanusiaan semalam kepada mangsa-mangsa tsunami.

Menurutnya, antara mangsa tsunami yang dipindahkan ialah seorang bayi yang baru dilahirkan dan seorang budak perempuan berumur 12 tahun yang menghidap kecederaan di dada.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: