Saturday, November 13, 2010

Latihan misi menyelamat




BAGI meningkatkan kecekapan anggota bomba dan penyelamat, latihan intensif perlu diadakan secara berkala.

Justeru, bagi mencapai tujuan berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pangkalan Udara Subang mengadakan latihan pengukuhan ikhtiar hidup di laut selama tiga hari di Pantai Penyabong, Mersing, Johor baru-baru ini.

Latihan wajib untuk semua anggota bomba itu dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dan disertai seramai 109 anggota dari pangkalan berkenaan selain pasukan dari Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Terengganu dan Kuala Kubu Baru, Selangor.

Turut menyertai latihan itu, para pegawai dari negeri Johor termasuk dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mahadi Mohd. Ali, berkata, latihan menyelamat melalui udara itu bertujuan untuk membiasakan mereka dengan situasi tersebut sekali gus bersedia untuk operasi menyelamat di darat, laut mahupun udara.

Katanya, latihan secara berterusan itu akan menjadikan pasukan bomba sentiasa relevan dan komited dalam menjalankan tugas-tugas menyelamat.

"Latihan ini juga membolehkan mereka menyesuaikan diri di laut terutama semasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat, secara tidak langsung dapat memupuk disiplin dan kerjasama antara mereka," katanya kepada Kosmo!.

Tinjauan Kosmo! sepanjang tiga hari latihan berkenaan mendapati, banyak teknik latihan menyelamat yang diajar antaranya dengan menggunakan, liferaft, jet ski, penyelam dan tidak ke tinggalan helikopter.

Mereka juga diajar cara-cara untuk menjalani ikhtiar hidup di air yang boleh diaplikasikan dalam misi menyelamat.

Latihan tersebut dilihat sebagai satu platform kepada para anggota bomba bagi meningkatkan ilmu dan tidak hanya menjadi anggota bomba yang menjalankan tugas memadamkan kebakaran sahaja.


MAHADI (kanan) memberi taklimat kepada anggota bomba dan penyelamat yang menyertai latihan pengukuhan ikhtiar hidup di air.


Pada masa ini, tugas dan peranan anggota bomba yang semakin mencabar merangkumi misi menyelamat sama ada di darat, air mahupun udara. Itu semua menuntut tahap disiplin dan komitmen yang tinggi.

Justeru, latihan yang diadakan di Pantai Penyabong itu sangat penting bagi memastikan setiap anggota sentiasa cergas di samping mengekalkan kemahiran dan ilmu mereka dalam menghadapi kejadian sebenar.

Menurut Mahadi, untuk latihan tersebut, tahun ini saja kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM15 juta kepada Akademi dan Penyelamat Malaysia.

Peserta seronok

"Jumlah tersebut tidak termasuk latihan yang dikendalikan oleh bahagian dan unit-unit dalam jabatan ini.

"Ini menunjukkan kerajaan komited bagi memastikan setiap anggota bomba menerima latihan yang berterusan dan berharap ia dimanfaatkan secara optimum," katanya.

Beliau turut bersetuju untuk menjadikan Pantai Penyabong sebagai lokasi tetap latihan tahunan selain Tanjung Bidara, Melaka, Pulau Pangkor, Perak dan Pulau Kapas, Terengganu.

Turut hadir menyaksikan latihan dan penutup latihan berkenaan, Pegawai Pemerintah, Unit Udara Bomba dan Penyelamat, Pangkalan Subang, Leftenan Kolonel Suzuki Abdullah.

Sungguhpun keletihan mengharungi latihan selama tiga hari di Pantai Penyabong, rata-rata anggota bomba yang ditemui melahirkan rasa seronok dan berpuas hati dengan modul latihan tersebut.

Mereka berpendapat ilmu yang diperoleh dapat membantu mereka menghadapi situasi getir semasa menjalankan tugas.

Di samping itu juga, mereka akan sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


LATIHAN ikhtiar hidup di air menggunakan liferaft menuntut setiap anggota bomba dan penyelamat memupuk semangat kerjasama dan disiplin yang tinggi.


Penolong Ketua Pengarah, Bahagian Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohd. Yunos Abu Hassan berkata, pada tahun hadapan latihan ikhtiar hidup itu akan menjadi latihan tahunan yang perlu dilalui oleh setiap anggota, berbanding diadakan setiap dua tahun sebelum ini.

"Bagi mendalami ilmu dan kemahiran setiap anggota, setiap tahun latihan ikhtiar hidup di air ini akan diwajibkan," katanya.

Bagi Penguasa Kanan Pegawai Bomba, Mohd. Roslan Zakaria, 27, beliau ditugaskan sebagai penolong unit penyelamat latihan berkenaan.

Beliau yang berpengalaman selama lima tahun dalam selam skuba menyatakan perasaan seronok kerana dapat menyertai latihan bersama anggota dari Pangkalan Udara Subang itu.

Mohd. Roslan dari Akademi Bomba Wakaf Tapai akan sentiasa memastikan keselamatan setiap peserta di bawah pengawasannya.

"Latihan menyelamat di air dan udara sangat berisiko sekiranya langkah-langkah keselamatan tidak dipatuhi, oleh itu saya perlu bersedia pada setiap masa," katanya.

Komitmen tinggi

Penguasa Kanan Bomba II, Muhammad Ehsan Mohd. Zain, 35, dari Akademi Bomba Kuala Kubu, Selangor juga bersependapat dengan Mohd. Roslan.

Katanya, walaupun keletihan dengan jadual latihan yang padat, namun dia dan anggota lain sentiasa seronok dan memberikan komitmen yang tinggi untuk menambah ilmu pengetahuan.

"Tugas kami sebagai anggota bomba tidak mengira waktu menuntut setiap anggota sentiasa cergas dan bersedia," katanya.


ANGGOTA bomba juga bertanggungjawab membantu orang ramai ketika berlakunya bencana alam seperti banjir.


Sementara itu, Penguasa Bomba Kanan II, Sulong Khaled, 54, berasa bangga kerana latihan seumpama itu diadakan di Pantai Penyabong.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau, Mersing mengakui dua anggotanya turut menerima faedah daripada latihan tersebut.

"Dua anggota dari Endau juga berpeluang menyertai latihan ikhtiar hidup di air yang diadakan ini.

"Insya-Allah ilmu dan pengalaman yang diterima mereka akan dikongsi bersama semua anggota di balai Bomba dan penyelamat Endau," katanya.

Pegawai Pemerintah, Unit Udara Bomba dan Penyelamat, Pengkalan Subang, Leftenan Kolonel Suzuki Abdullah pula berkata, selain daripada mengadakan latihan kepada anggotanya, mereka turut memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk kawasan tempat latihan tersebut di adakan.

"Sebelum kami meninggalkan tempat latihan, setiap anggota akan mengadakan khidmat masyarakat dan gotong-royong bersama penduduk kampung," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: