Saturday, November 13, 2010

Gaya idamandi Punta Mita


RESORT ini menawarkan layanan kelas pertama buat pengunjung.


“PADA penghujung hari, saya mahu bersantai di ruang rehat dengan sebelah tangan memegang segelas margarita sambil menyaksikan panorama matahari terbenam di lautan,” kata Stuart McGregor ketika meninjau rumah percutian barunya.

Selama bertahun-tahun lelaki itu telah bekerja keras di Calgary, Kanada untuk merealisasikan impian memiliki sebuah rumah percutian mewah bersama isterinya, Barbara.

Apa yang mengejutkan, rumah percutian jenis vila yang baru dibelinya terletak di Punta Mita, Mexico.

“Kami telah menghabiskan banyak masa mencari lokasi ideal di sekitar Asia Tenggara dan Hawaii. Begitu juga di sekitar Palm Springs dan Phoenix di Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, seorang teman dari Calgary mengesyorkan kami mencarinya di Punta Mita. Kami terfikir, ‘oh Mexico’, sedangkan kami tidak tahu apa-apa mengenai negara itu,” imbas Barbara.

Tanggapan sedemikian merupakan lumrah dalam kalangan warga Kanada. Selama ini, mereka hanya didedahkan dengan publisiti-publisiti buruk mengenai Mexico melalui media tempatan. Jarang sekali mereka mendengar ulasan positif mengenainya.


PUNTA MITA turut memanggil penggemar golf untuk mengunjungi resort padang golf yang dianggap terbaik di dunia.


Kawasan seluas 200 hektar di bahagian yang mengunjur ke Pasifik menjadikan Punta Mita sebuah lokasi unik. Kebanyakan pemilik rumah percutian yang boleh ditemui di situ merupakan rakyat Kanada dan berasal dari Calgary.

Komuniti yang terdapat di situ jarang ditemui di lain-lain kawasan di Mexico. Pembangunan terancang berteraskan teknologi moden menjadikannya setaraf kepulauan Caribbean seperti di Nevis dan Barbados.

Banyak tarikan dibina di sekitar padang golf yang diilhamkan oleh legenda golf, Jack Nicklaus. Lokasi itu pernah dianugerahkan sebagai resort golf terbaik dunia oleh pembaca majalah Conde Nast Traveller; serta anugerah resort dan padang golf terbaik di dunia pada tahun 2006 dalam penerbitan majalah Travel + Leisure Golf.


PERKHIDMATAN bot pesiaran disediakan untuk mereka yang mahu melihat panorama di sekeliling pulau.


Dikelilingi tiga bahagian pantai memutih, Punta Mita mempunyai rangkaian hotel eksklusif dan mewah dan rumah percutian individu yang lazimnya sering disewa oleh warga Kanada.

Ia juga merupakan destinasi percutian warga Mexico yang ditugaskan memelihara alam sekitar dan kampung nelayan yang terletak bersebelahan.

Burung liar

Jika mahu menikmati keindahan pulau yang menjadi habitat burung-burung liar, tinggalkan dahulu keselesaan di vila dan memandu selama lima minit ke kawasan pelabuhan. Di sana, terdapat bot-bot perlancongan yang bersedia membawa pengunjung mendekati habitat unggas tersebut.

Sekiranya bernasib baik, pengunjung boleh menyaksikan burung undan bertenggek di atas bot nelayan dan sesekali diselangi aksi burung camar yang berterbangan bebas.

Pemandangan seperti itu mungkin agak biasa terutama bagi mereka yang berasal dari utara Amerika. Bagaimanapun, peluang menyaksikan keunikan burung camar kaki biru (blue-footes bobby) di habitat Marieta Islands Marine Reserve pastinya menjanjikan kepuasan.


KEJERNIHAN air laut yang membiru menjadi tarikan 'mahal' di Punta Mita.


“Gabungan keindahan alam semula jadi dan kekayaan budaya menyebabkan saya dan isteri terpesona.” kata Stuart.

“Cuacanya sesuai untuk anda bermain golf kerana matahari bersinar hampir setiap hari. Bagaikan satu bonus, kami juga menyukai budaya masyarakat di sini. Mereka sangat baik, perbezaan budaya yang dilihat memberikan kami pengalaman berharga.” ujarnya.

Di tanya sama ada dia mahu kembali semula ke Calgary pada masa hadapan, Stuart berkata: “Saya akan pulang sekali-sekala untuk menghadiri mesyuarat.

“Kemudahan Internet dan telefon di sini membolehkan saya menguruskan perniagaan seperti biasa. Apa yang membezakan hanyalah iklimnya. Perlukah saya kembali ke sana?”.

Sementara itu, Setiausaha Pelancongan Mexico, Gloria Guevara berkata, pihaknya menggalakkan pengunjung melawat ke kawasan pedalaman yang menawarkan lebih banyak tarikan berbanding jika sekadar menginap di resort.


AKTIVITI skuba dan snorkeling turut mendapat sambutan menggalakkan.


“Jika mahu bergantung kepada populariti pantai semata-mata, terdapat banyak lagi destinasi seumpamanya di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu meneroka kekayaan budaya, khazanah arkeologi dan ekologi, ia hanya boleh ditemui di Mexico,” katanya.

Selain memiliki kira-kira 30,000 kawasan arkeologi, Gloria menyatakan, negara itu mempunyai 29 buah Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Dana Amanah Kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Antara tarikan baru buat pelancong adalah keunikan makanan tradisi, kepelbagaian budaya, sejarah dan karya-karya seni, bandar era kolonial, sistem ekologi dan tapak-tapak pra sejarahnya yang terus kekal sehingga kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: