Saturday, November 6, 2010

KOAM, apa sudah jadi?


NORASEELA tidak didaftarkan oleh KOAM untuk beraksi pada Sukan Asia di Guangzhou minggu depan.


KASIHAN Noraseela Khalid.

Hasratnya untuk mengharumkan nama negara di Sukan Asia 2010 tidak kesampaian.

Sepanjang tahun, jaguh acara 400 meter lari berpagar negara itu mengerah keringat mempersiapkan diri untuk menghadapi temasya berprestij itu, tetapi segala usahanya selama ini musnah dan tidak bermakna.

Entah di mana silapnya, nama Noraseela tiada dalam senarai penyertaan Sukan Asia meskipun sebelum ini beliau dikatakan akan beraksi atas tiket kategori B.

Sebelum ini Noraseela telah disahkan bakal beraksi selepas mendapat lampu hijau daripada Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim, namun pengesahan daripada Shahidan itu sekadar cakap kosong.

Akibatnya, Noraseela yang menjadi mangsa.

Drama terbaru ini disahkan oleh Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010, Datuk Zolkples Embong semalam yang menyatakan bahawa pintu buat Noraseela untuk beraksi pada temasya yang bakal berlangsung di Guangzhou, China itu telah pun tertutup.

Menurut Zolkples, sehingga semalam KOAM masih belum mendaftarkan nama Noraseela bagi mengesahkan penyertaan atlet itu ke temasya tersebut memandangkan tarikh akhir pendaftaran telah pun ditutup Selasa lalu. Sukan Asia akan bermula di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November.

“Pada mesyuarat DRM (Delegation Registration Meeting) yang berlangsung Rabu lalu, nama Noraseela tidak berada dalam senarai atlet Malaysia yang akan bertanding pada temaysa Sukan Asia kali ini.

“Jadi secara tidak langsung dia (Noraseela) tidak dibenarkan untuk menyertainya kerana tarikh akhir pendaftaran atlet telah pun ditutup,” kata Zolkples ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya apakah sebenarnya yang berlaku dalam isu penyertaan Noraseela pada temasya Sukan Asia kali ini yang dilihat seperti mahu menganiaya atlet tersebut, Zolkples menjawab: “Saya sendiri keliru berhubung situasi ini.

“Pada 1 November yang lalu, Presiden KOAM ada menghubungi saya mengatakan bahawa Noraseela dibenarkan untuk beraksi atas tiket kategori B tetapi beliau meminta pihak MSN (Majlis Sukan Negara) untuk membantu dari segi perbelanjaan atlet tersebut di sana (China) nanti.

“Saya beritahu kepada Presiden KOAM agar mendaftarkan nama Noraseela terlebih dahulu dan selepas itu baru kita membincangkan mengenai perbelanjaannya.

“Namun, sehingga hari ini (semalam), nama Noraseela masih tidak berada dalam senarai atlet Malaysia yang akan bertanding dan saya sendiri tidak mampu untuk berbuat apa-apa.”

Zolkples yang merupakan Ketua Pengarah MSN menambah, pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam menentukan pendaftaran atlet-atlet Malaysia yang bakal bertanding kerana perkara tersebut menjadi tanggungjawab persatuan masing-masing.

Noraseela berjaya menyumbangkan satu pingat gangsa buat kontinjen Malaysia pada temaysa Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: