RUANG gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil tidak henti-henti bergema dek bunyi bising besi angkat berat yang dihempas ke atas lantai. Baik atlet lelaki mahupun wanita, masing-masing dilihat tidak jemu memberi semangat antara satu sama lain sewaktu melakukan sesi latihan.
Dari jauh kelihatan tiga rakan sukan angkat berat iaitu Raihan Yusoff, Nurul Ismayanti Nor Dzuan dan Nurniada Nordin sedang berjalan menuju ke gimnasium.
Sambil membawa beg kecil yang diisi dengan beberapa keperluan seperti tuala, minuman dan tali pinggang, mereka sebenarnya agak malu apabila diminta untuk mengenakan pakaian ketat sama seperti menyertai pertandingan.
“Kami segan, kalau untuk kejohanan tidak mengapa. Sebab masa itu memang hanya fikir untuk menang sahaja. Tetapi waktu latihan kami lebih selesa pakai seluar ketat dan baju T sahaja.
“Paling tidak, kalau terpaksa kami akan pakai baju T di sebelah dalam,” beritahu Raihan sambil turut diakui oleh rakan-rakan.
Memulakan latihan angkat berat dengan melakukan senaman ringkas menegangkan otot kira-kira 30 minit, barulah mereka mula memegang batang besi yang mempunyai berat 15 kilogram (kg) sebelum memasukkan kepingan besi bulat seberat 20 kg.
Jadi, bermulalah latihan angkatan pertama yang dilaksanakan oleh Raihan dengan berat keseluruhannya 35 kg.
Riak wajahnya yang bersahaja bagaikan memberi petunjuk bahawa jumlah tersebut bukanlah berat maksimum angkatannya. Mungkin itu sekadar permulaan untuk memanaskan badan.
Tidak banyak bersuara semasa latihan mereka sekadar berbincang sesama sendiri. Raihan anak bongsu daripada 11 adik-beradik mula terlibat dalam dunia sukan angkat berat pada usia 14 tahun.
Sememangnya sejak kecil, Raihan mempunyai perwatakan agak kasar. Raihan mula mengenali sukan angkat berat selepas diperkenalkan oleh rakan-rakan sekolah.
Mengimbau kembali kenangan itu, tanpa pengetahuan ibu bapa, dia ‘curi-curi’ melakukan latihan kerana bimbang minatnya dalam sukan angkat berat ditentang keluarga.
“Saya dapat rasakan keluarga akan terkejut dengan apa yang saya lakukan ketika itu. Tidak kira latihan atau pertandingan di peringkat sekolah memang saya buat senyap-senyap.
“Tapi lama-kelamaan saya terpaksa juga menjelaskannya kepada mereka terutama apabila saya semakin banyak menyertai pertandingan. Memang mulanya masing-masing terpinga-pinga, tapi akhirnya mereka boleh menerima minat saya itu,” katanya yang merupakan cahaya mata kepada pesara tentera yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Mewakili golongan wanita
Lebih manis lagi, gadis berusia 22 tahun itu baru-baru ini mengharumkan nama negara apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa dalam kategori 53 kilogram dalam Sukan Komanwel di New Delhi, India.
Lain pula dengan kisah seorang lagi rakannya yang merupakan atlet pelapis angkat berat wanita, Nurul Ismayanti berusia 23 tahun.
Berambut panjang dan diikat kemas ke belakang, susuk tubuh gadis itu tampak cukup gagah. Serius menjalankan latihan dengan menukar kepingan besi yang lebih berat, Ismayanti bagaikan sudah begitu sebati dengan sukan itu.
Dia yang berasal dari Kedah bagaikan sudah ditentukan mempunyai bakat dalam sukan angkat berat. Bermula sebagai seorang atlet olahraga, bola jaring dan hoki, kecenderungan untuk beralih arah ke sukan angkat berat pada mulanya disuarakan oleh jurulatih angkat berat Kedah, Mohd. Nor Osman.
“Alasan pertama mengapa saya pilih sukan angkat berat kerana ketika itu tidak ramai golongan wanita berani menceburinya.
“Secara tidak langsung, sukan itu juga tidak mempunyai persaingan yang ramai,” jelasnya yang pernah merangkul pingat emas pertama pada Kejohanan Angkat Berat Terbuka Wanita di Pulau Pinang.
Kawal pemakanan
Berbicara dari sudut cara pemakanan pula, Ismayanti mula mengukir senyuman dan menjeling rakan di sebelah. Kata pemenang dua pingat perak Kejohanan Angkat Berat Wanita Peringkat Kebangsaan 2009 itu, ahli sukan pastinya mempunyai cabaran bila menyentuh soal makanan.
Mereka tidak boleh menjamah hidangan dengan sewenang-wenangnya. Jujurnya, Ismayanti mengakui pernah tertewas dengan menu yang tidak sepatutnya dijamah oleh para atlet terutama ketika musim Aidilfitri.
Namun apakan daya, dia juga mempunyai selera membuak-buak seperti insan lain.
“Cara yang betul bagi atlet adalah langsung tidak makan makanan berminyak, lemak atau yang boleh menggemukkan.
“Tetapi negara kita memang mewah dengan makanan sedemikian. Perkara ini pernah terjadi kepada saya. Mujur berat saya mudah turun,” ujarnya yang mempunyai berat badan 58 kg.
Berlatih selama tiga jam sehari, terang Nurul Ismayanti dari segi latihan tiada bezanya antara atlet angkat berat lelaki dan wanita.
“Kami sama-sama melakukan latihan clean dan jerk serta snatch, cuma batang besi untuk atlet lelaki lebih berat iaitu 20 kg berbanding batang besi wanita 15 kg,” katanya.
Kedinginan minat kaum Hawa terhadap dunia sukan angkat berat berbanding sukan lain tidak dinafikan disebabkan banyak faktor seperti dikatakan boleh menjejaskan kesihatan dalaman wanita, membentuk badan berotot seperti lelaki selain menuntut keringat tenaga yang besar.
Ulas atlet muda angkat berat, Nurniada, 22, beliau mengakui sama seperti atlet angkat berat lelaki, atlet wanita dalam sukan itu juga biasanya mempunyai bentuk badan yang berotot terutama di bahagian lengan dan paha.
Keadaan itu katanya menyebabkan kebanyakan atlet angkat berat wanita berdepan dengan sedikit masalah untuk membeli seluar jean.
“Sukan ini menyebabkan kami terpaksa menghabiskan masa yang lama di butik jean. Selalunya bahagian paha akan ketat. Jadi kena cuba banyak kali, tapi tidaklah sampai perlu menempah seluar untuk memiliki sehelai jean,” kata Nurniada.
Bagaimanapun, sukan tersebut tetap memberi mereka kelebihan kerana senaman yang dilakukan, diet yang betul dan teknik pernafasan menyebabkan atlet sukan angkat berat jarang berdepan dengan masalah perut buncit.
“Namun, apa yang pasti, tidak kira apa pandangan buruk orang lain terhadap bentuk badan kami, pastinya minat mendalam mendahului segala-galanya.
“Saya tidak pernah menyesal apabila bentuk badan saya dan rakan-rakan lebih berotot. Sebelum menyertai sukan itu pastinya semua atlet telah mengetahuinya.
“Sebaliknya bagi saya, kami nampak lebih hebat, sihat dan bertenaga. Masalah kegemukan dan perut buncit yang sering dialami oleh wanita tidak dialami oleh kami,” ungkap anak sulung itu sambil tersenyum manis.
Mitos masalah kesihatan
Selain itu, ramai berpendapat wanita yang mengangkat berat cenderung berhadapan dengan masalah dalaman wanita. Antaranya sukar untuk melahirkan anak dan buasir.
Nurniada mengakui perkara tersebut sering dimomokkan ke telinganya. Hakikatnya desas-desus mengenai masalah tersebut tidak berapa tepat.
Ini kerana ada sebilangan atlet wanita yang mengangkat berat mampu melahirkan zuriat setelah mendirikan rumah tangga.
“Sepanjang saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam sukan ini, kami belum lagi berhadapan dengan fenomena itu. Kalau masalah kesihatan, biasanya hanyalah kecederaan ketika kejohanan atau latihan,” ulasnya.
Sementara itu, dalam kesungguhannya berlatih demi mengharumkan nama negara, bagaimana pula bentuk habuan yang diterima oleh mereka. Adakah ia setanding sukan popular seperti badminton, boling dan skuasy yang menjanjikan pendapatan lumayan?
“Hadiah kami tidak sehebat sukan bola sepak, skuasy atau badminton. Paling tidak dapat trofi atau pingat manakala, kalau pecah rekod kebangsaan barulah dapat RM2,000.
“Kalau setakat kejohanan biasa memang habuan tidak besar,” akui tiga gadis itu bersama.
Meskipun nilai tersebut bagaikan tidak berbaloi apabila diukur dengan komitmen, keringat dan pengorbanan mengeluarkan tenaga, namun mereka tidak pernah mengeluh.
Bahkan, mereka lebih bersikap terbuka demi menaikkan nama negara sehingga ke persada antarabangsa terutama menerusi sukan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: