MENYUSURI jalan-jalan utama di sekitar bandar raya George Town, Pulau Pinang pasti menggamit seribu pertanyaan.
Selain warisan bangunan kolonial dan deretan kedai-kedai lama, satu lagi keunikan bandar itu yang wajar diketahui ialah nama-nama jalannya.
Kepada yang pertama kali ke bandar itu, setiap sudut kiri dan kanan jalan yang anda susuri pasti berjaya mencuri tumpuan anda.
Sekali pandang, mungkin ia mendatangkan kekeliruan kerana nama-nama jalan itu seolah-olah berubah di setiap 100 meter perjalanan.
“Menariknya, nama-nama jalan di bandar ini mempunyai cerita dan kisah tersendiri yang berkait rapat dengan komuniti terdahulu di Pulau Mutiara.”
Demikian menurut Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff ketika berbicara tentang sejarah perletakan nama-nama jalan di George Town.
Pembangunan di George Town asalnya tertumpu di kawasan Kota Cornwallis selepas Kapten Francis Light menaikkan bendera Union Jack di kawasan terbabit pada tahun 1780.
|
|
“Selepas itu barulah jalan-jalan baru dibina di sekitar kawasan kota ini seperti Beach Street (Lebuh Pantai), Light Street (Lebuh Light), Pitt Street (Jalan Masjid Kapitan Kling) dan Chulia Street (Lebuh Chulia).
“Ini adalah rangkaian jalan-jalan yang pertama dibina di bandar ini. Ia membentuk tulang belakang sistem jalan raya yang bakal dibangunkan selepas itu.
“Selepas itu barulah wujud Church Street (Lebuh Gereja), Bishop Street (Lebuh Bishop), China Street (Lebuh China) Market Street (Lebuh Pasar), Armenian Street (Lebuh Armenia) dan Acheen Street (Lebuh Acheh).
“Secara asasnya, nama-nama jalan ini wujud di sesebuah pembangunan baru di setiap kawasan George Town,” jelasnya yang memberitahu jalan-jalan terbabit masih wujud sehingga ke hari ini.
Selain itu Yusoff memberitahu, setiap nama jalan turut mempunyai hubung kait dengan zaman pemerintah penjajah British misalnya King Street (Lebuh King), Victoria Street (Lebuh Victoria) yang didedikasikan kepada Raja dan Ratu England masa itu.
Menurut beliau, Campbell Street (Lebuh Campbell) pula menempatkan pejabat imigresen dan stesen menerima kemasukan imigran China dari Kwangtung pada abad ke-19.
Sebagai lokasi pelabuhan ternama, selain pedagang, George Town turut menerima kunjungan kelasi dan tentera lalu wujudnya Love Lane (Lebuh Chenta).
Aktiviti ekonomi lampau
“Suatu ketika dahulu jalan ini menjadi tumpuan pasangan berasmara khususnya askar-askar yang datang dari Kedah melalui jalan laut.
“Tujuan mereka ke sini adalah untuk memikat wanita-wanita pulau untuk dijadikan kekasih kerana mereka mempunyai wajah yang menawan.
“Kini Lebuh Chenta terkenal sebagai destinasi popular bagi rumah-rumah tumpangan warisan sekali gus menarik lebih ramai pelancong asing,” ceritanya sambil menunjukkan foto-foto lama jalan-jalan di situ.
Menganjak ke daratan pula, nama jalannya pula diambil daripada aktiviti ekonomi yang berlaku pada masa itu.
Pembukaan Terusan Suez bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan George Town tetapi menarik pelbagai kumpulan etnik dari serata dunia untuk berdagang ke Pulau Pinang.
Selain Melayu, Cina, India dan British terdapat komuniti Acheh, Arab, Armenia, Burma, Eurasia, Filipina, Jerman, Jepun, Switzerland dan Yahudi.
“Sungguhpun komuniti-komuniti ini kecil tetapi kehadiran mereka dapat dirasai.
“Banyak nama jalan yang berkait rapat dengan komuniti-komuniti ini seperti Acheen Street, Siam Road, Armenian Street, Burma Road dan Rangoon Road.
“Sama halnya dengan Gottlieb Road, Katz Street dan Jew Road juga dikenali sebagai Jalan Yahudi di mana terdapatnya perkuburan masyarakat Yahudi.
“Kecuali Jalan Yahudi, sehingga hari ini terdapat lebih 300 nama jalan di sekitar pusat bandar yang masih kekal,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, satu dasar kerajaan telah ditetapkan terhadap penamaan nama jalan tidak dibenarkan kepada individu yang masih hidup.
Ini kerana kemungkinan orang yang masih hidup itu menimbulkan masalah sekali gus mendatangkan kesan negatif jika nama tersebut digunakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: