Thursday, November 25, 2010

Kemudahan kelas pertama di kem PLKN


Pusat sumber yang menempatkan kemudahan Internet, perpustakaan dan barang-barang berkaitan PLKN untuk kemudahan pelatih.


MENDENGAR sahaja Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan mengambil pelatih baru, pasti ada ibu bapa yang tidak lena tidur memikirkan nasib anak yang bakal dihantar ke kem-kem latihan.

Kebanyakan ibu bapa masih mempunyai stigma kem PLKN yang dibina tidak selamat kerana lokasinya jauh dan ada antaranya terletak di kawasan pedalaman.

Namun hakikat sebenarnya adalah berbeza. Kesemua kem terlibat mempunyai kemudahan asas lengkap dan telah dibina dengan mengambil kira soal keselamatan dan keselesaan.

Selain itu, pengasingan kemudahan antara jantina turut dititikberatkan di setiap kem supaya kawalan dan pemantauan dapat dilakukan dengan mudah.

Sehubungan itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PLKN, Leftenan Kolonel Mohd. Razak Omar berkata, pembinaan kemudahan latihan yang selamat dan mengikut spesifikasi terutamanya untuk aktiviti fizikal merupakan aspek penting.

Ia bagi mewujudkan keyakinan bukan sahaja di kalangan pelatih tetapi juga ibu bapa.

"Pihak pengurusan PLKN memandang serius aspek keselamatan dalam setiap aktiviti fizikal terutamanya yang berkaitan aktiviti air, jadi setiap prasarana tersebut akan sentiasa dipantau bagi menjamin keadaan setiap peserta," jelasnya.

Menurut beliau, setiap pengusaha kem juga perlu mematuhi prosedur ketat dalam penyediaan kemudahan sepanjang program PLKN dijalankan supaya setiap pelatih mendapat keselesaan dan kemudahan kelas pertama.

"Bekalan air bersih, elektrik, asrama dan tempat latihan merupakan perkara asas yang wajib dipatuhi untuk membolehkan setiap kem beroperasi," tegasnya.

Tambah Mohd. Razak, sepanjang berada dalam program tersebut juga, pelatih akan didedahkan dengan empat modul latihan yang direka khusus untuk menanamkan perasaan cintakan Negara dan memupuk semangat 1Malaysia.

"Modul tersebut adalah modul fizikal, kenegaraan, pembinaan fizikal dan khidmat komuniti yang akan diadunkan agar setiap pelatih dapat membina jati diri dan perpaduan antara kaum," katanya.

Sementara itu, pengusaha kem PLKN Junako Park, Sibu, Khiu Siong Hii berkata, kreativiti untuk mewujudkan kemudahan tambahan adalah penting agar peserta dan jurulatih gembira dan tidak bosan.

"Di sini kami turut membina sebuah kolam renang sedalam dua meter sebagai prasarana tambahan supaya pelatih mempunyai keyakinan dalam air. Di samping itu, beberapa rumah atas pokok juga dibina untuk mereka bersantai," katanya.

Beliau menambah, bagi mewujudkan persekitaran membaca dan membudayakan ilmu di kalangan warga PLKN, sebuah pusat sumber turut dibina dan ditempatkan di kawasan yang mudah untuk dilawati.

"Pusat sumber di sini turut dilengkapi komputer dan Internet, perpustakaan mini serta artikel-artikel berkenaan PLKN dari siri satu hingga sekarang turut dikumpulkan untuk dijadikan rujukan," jelasnya.

Kem yang mula beroperasi pada 2004 itu dan berkeluasan 123 hektar turut merangkumi pejabat urusan, klinik, surau, bilik kuliah, dewan makan serta pelbagai kemudahan lain seperti padang bola, padang kawad, kolam, kediaman jurulatih dan pelatih.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: