![]() |
| BERSAMA pegawai-pegawai kanan semasa bertugas di Maktab PDRM Cheras pada tahun 2006. |
SELARAS dengan perkembangan pesat teknologi di seluruh dunia, pelbagai bentuk jenayah kini muncul selain jenayah kekerasan yang sering kita baca di dada-dada akhbar.
Jenayah kini bukan hanya tertumpu kepada pembunuhan, rogol mahupun rompakan, malah ia kini turut membabitkan jenayah kolar putih yang terancang tanpa kekerasan, sejajar dengan berkembangnya bidang teknologi maklumat (IT).
Bagi memastikan jenayah era baru ini ditangani sebaik mungkin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meletakkan kepercayaan terhadap pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk memastikan penjenayah dalam bidang ini dibanteras dan dipatahkan.
Tugas mengetuai pasukan JSJK, sama ada di peringkat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kontinjen mahupun daerah sememangnya berat kerana ia menuntut kepakaran seseorang anggota dan pegawai bagi mengesan dan mengenalpasti bentuk jenayah komersial, melebihi kemahiran penjenayah.
Itulah yang dialami Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa selepas diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penolong Pengarah (Operasi) di JSJK Bukit Aman sejak tahun 2007.
Beliau mengakui sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran baru dalam menangani jenayah komersial yang sentiasa berubah corak dan trend mengikut perkembangan arus perdana.
Menurutnya berbeza dengan jabatan jenayah lain, fungsi utama JSJK adalah menjalankan penyiasatan, menangkap, dan mendakwa penjenayah kolar putih.
Katanya, ini termasuk membanteras jenayah penipuan, pecah amanah dan pemalsuan siber sama ada kegiatan itu dilakukan oleh orang perseorangan mahupun secara sindiket.
"Jenayah komersial lebih bersifat global. Ia tidak melibatkan keganasan atau kecederaan fizikal tetapi lebih kepada taktik penipuan secara terancang yang harus ditangani dengan teknik yang bijak dan berkesan.
"Memandangkan jenayah komersial melibatkan kaedah yang pelbagai, PDRM iaitu JSJK perlu mempunyai perancangan yang tersusun bagi memastikan kita berjaya membanteras jenayah ini," katanya kepada Gaya Polis baru-baru ini.
Menurutnya lagi, perkembangan jenayah komersial banyak dipengaruhi perubahan teknologi moden, justeru, setiap anggota dan pegawai perlu sentiasa peka dan mengambil tahu trend-trend terbaru yang menjadi strategi penjenayah.
"Jenayah komersial masa kini berbeza dengan masa lalu di mana kini banyak cara yang boleh dilakukan penjenayah untuk mengumpan mangsanya sama ada secara terbuka mahupun di alam maya.
"Justeru, perkembangan semasa berkaitan teknologi dan multinasional perlu dikuasai bagi menyelongkar kegiatan jenayah tersebut," ujarnya.
Sehubungan itu, bagi memantapkan JSJK pada masa kini, tumpuan diberikan di bahagian operasi selain turut mempertingkatkan bahagian siasatan dan jenayah siber yang diketuai pengarah yang baru iaitu Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan.
Katanya, JSJK terdiri daripada beberapa bahagian antaranya risikan, operasi, siasatan jenayah siber dan multimedia, pemalsuan, kewangan dan korporat.
"Di setiap bahagian mempunyai peranan tertentu bagi memastikan setiap visi jabatan dapat dilaksanakan," katanya lagi.
Ditanya mengenai pengalaman beliau mengendalikan kes jenayah komersial, Rohaimi yang berusia 45 tahun berkata, penipuan peraduan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) antara kes terbesar yang pernah dikendalikannya.
"Kira-kira lima bulan lalu, kami berjaya menahan seramai 26 warga asing yang bergiat aktif menjalankan kegiatan peraduan SMS yang menawarkan pelbagai hadiah menarik di sekitar Tawau, Sabah.
"Selama dua bulan risikan dilakukan sebelum berjaya memberkas kesemua suspek dalam operasi yang dinamakan sebagai 'Ops Pipit'," katanya.
Tambahnya, dalam 'Ops Serama' pula, pihaknya berjaya melumpuhkan satu sindiket yang menjalankan skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) berasaskan sistem piramid.
"Sindiket tersebut dipercayai terlibat dalam skim pelaburan haram yang ditumpaskan di Bandar Sunway Piramid pada 6 Ogos lalu," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: