(dari kiri) Andrew Brian dan Rosnah Abdul Rashid Shirlin bersama kanak-kanak dan tetamu jemputan pada majlis perasmian Purple Day di Kuala Lumpur baru-baru ini. |
ANAK autisme sering dilabel sebagai kanak-kanak berkelakuan pelik, berada dalam dunianya sendiri dan berkemungkinan besar keciciran dalam pelajaran.
Dunia kanak-kanak autisme masih misteri kerana tiada siapa tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka, khususnya apabila mereka mula 'buat perangai', sama ada tidak mengendahkan orang lain, asyik mengulangi perkara sama atau pun melakukan perkara yang boleh mencederakan diri.
Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang - biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.
Ibu bapa yang dianugerahkan anak-anak istimewa itu juga perlu tabah dalam mendidik anak seperti anak normal yang lain.
Walaupun tugas mendidik anak istimewa ini agak mencabar keadaan tersebut akan jadi lebih mudah apabila ibu bapa mempunyai sedikit pengetahuan mengenai austime.
Di Malaysia dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak mengalami masalah itu.
Statistik menunjukkan kini ada kira-kira 47,000 penduduk negara ini menghidap autisme.
Daripada jumlah itu, empat atau lima orang bagi 10,000 pesakit mengalami autisme tulen yang mengakibatkan mereka kehilangan keupayaan memahami keadaan sekeliling, kecuali diri sendiri.
Sebagai langkah meningkat kesedaran dan pendidikan mengenai autisme di kalangan orang ramai pihak pengurusan pusat beli-belah terkenal, Suria KLCC baru-baru ini menganjur kempen dikenali sebagai Purple Day.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KLCC , Andrew Brian, kempen itu bertujuan memberi kesedaran terutama kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak yang mengalami autisme.
Malah, ia juga memberikan pengetahuan kepada orang ramai mengenai cara yang mereka boleh lakukan bagi membantu pesakit-pesakit autisme.
"Kempen ini juga merupakan tanda tanggungjawab sosial kami dalam membantu memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada orang ramai," katanya pada majlis pelancaran kempen tersebut.
Hadir merasmikan kempen ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Turut hadir Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Teh Beng Choon.
Menurut Brien lagi, melalui kempen itu sebuah kiosks telah dibuka di tengah-tengah pusat membeli belah itu yang menempatkan barang-barang seperti baju-t berwarna unggu dan pelbagai cenderamata.
Jelas beliau, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai cenderamata tersebut dan hasil jualan akan di dermakan kepada Nasom.
Katanya, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung pusat beli-belah tersebut, kempen tersebut akan dijadikan acara tahunan KLCC dalam memberikan pengetahuan kepada orang ramai di samping membantu menambah dana Nasom.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: