Thursday, November 18, 2010

Prapelancaran Adik-Adikku musim kedua

RANCANGAN Adik-Adikku yang berlangsung pada 18 Mac 2010 telah mencetuskan fenomena baru dalam penerbitan program realiti televisyen tempatan.

Paling membanggakan apabila program berkenaan telah merekodkan jumlah hampir sejuta penonton. Sekali gus meletakkan Adik-Adikku sebagai program paling popular di TV1 bagi minggu ke-11 2010.

Rancangan itu yang mendapat liputan meluas pihak media dan pelbagai komen positif diterima daripada kalangan penonton melalui paparan komen dalam akhbar-akhbar harian.

Atas sambutan hangat tersebut dan bagi memenuhi permintaan penonton, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama RTM telah meneruskan pencarian bakat Adik-Adikku bagi musim kedua.

Program ini dilihat sebagai program alternatif kepada kanak-kanak yang tidak berkonsepkan hiburan semata-mata, ia juga terbukti mampu mencungkil bakat, karisma, kepimpinan dan membentuk keyakinan diri peserta melalui persembahan mereka di pentas Adik-Adikku.

Generasi muda hari ini sewajarnya dididik dengan sifat Rasulullah SAW semasa zaman kanak-kanak dan remaja yang sangat mulia dan berwibawa sekali gus dijadikan idola kanak-kanak hari ini.

Objektif rancangan itu adalah memaparkan karisma kanak-kanak, mencungkil bakat yang boleh dibina dalam diri kanak-kanak serta dapat mendorong membentuk jati diri dan istiqamah dalam kepimpinan kanak-kanak.

Sesi uji bakat telah dijalankan di 14 lokasi di seluruh negara. Para peserta uji bakat yang dibuka kepada peserta berumur lapan hingga 12 tahun dinilai oleh juri di lokasi daripada segi kepetahan berpidato, bertarannum, mengalunkan azan (bagi peserta lelaki) dan bernasyid.

Ada peserta yang menampilkan kelainan dengan membuat persembahan seperti berzanji, marhaban, dan kalam jama'ie dalam menambat hati juri.

Prapelancarannya akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz pada 27 November 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor.

Program Adik-Adikku musim kedua ini masih meneruskan konsep musim pertama iaitu berkonsepkan hiburan, pendidikan dan riadah. Persembahan pidato yang ditugaskan kepada setiap peserta perlulah memenuhi elemen berikut iaitu mempunyai mesej yang disampaikan mengikut tema yang ditetapkan, jelas, persembahan gaya yang menarik dan terpulang kepada kebijaksanaan setiap pembimbing untuk mengasah bakat yang ada pada setiap peserta dan menggunakan kebolehan peserta yang ada untuk tampil berada di pentas.

Setiap pertandingan mempunyai penyingkiran peserta dan yang membezakan Adik-Adikku dengan program realiti lain adalah peserta yang tersingkir dibenarkan mengikuti semua aktiviti sepanjang di akademi sehingga tamat akademi.

Bagi aktiviti riadah pula, peserta didedahkan dengan tiga aktiviti yang sering diamalkan Rasulullah SAW iaitu berkuda, memanah dan pada musim kedua ini ditampilkan aktiviti berenang, sekali gus melengkapkan tiga aktiviti amalan Rasulullah SAW.

Para peserta juga dibawa melawat tempat-tempat tertentu bagi memberi pendedahan kepada peserta.

Bagi program kali ini, peserta yang terpilih ke akademi Adik-Adikku di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi bermula 27 November 2010 hingga 25 Disember 2010 akan dikumpulkan selama hampir sebulan.

Ia bagi mengikuti kelas pembelajaran melalui kurikulum yang diwajibkan sehingga mereka mampu lahir sebagai pemimpin kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: