![]() |
| KeTIKA ini hanya tiga individu memiliki Rolls Royce Ghost di negara ini. |
ROLLS Royce tidak memerlukan banyak pengenalan. Prestij dan kemewahannya telah lama memartabatkan jenama itu sebagai kenderaan paling sinonim dengan individu-individu terkaya di dunia.
Ia bukan sekadar kereta. Rolls Royce adalah lambang keunggulan sebuah kenderaan yang dipenuhi dengan nilai-nilai eksklusif, muktamad tanpa perbandingan.
Eksklusifnya bukan hanya pada pembuatan bahkan pemilikannya juga amat terhad. Dengan jualan kurang 2,000 unit di seluruh dunia setahun, kelibat Rolls Royce di jalanan boleh diumpamakan satu dalam berjuta.
WOW! baru-baru ini menjadi antara media pertama di rantau ini yang berpeluang memandu uji satu daripada model jenama itu iaitu Rolls Royce Ghost.
Sesi pandu uji jentera berharga RM2.6 juta yang membuat kemunculan pertama di negara ini pada Januari lalu itu bermula dari pejabat Quill Motorcars Sdn. Bhd., pengedar rasmi Rolls Royce tempatan.
"Ini adalah peluang yang sangat jarang diperolehi. Nikmatilah kepuasan pemanduan yang dicipta pada kelas tertinggi," ujar Hal Serudin, Pengurus Komunikasi Korporat Rolls-Royce Motor Cars Limited sebelum pandu uji bermula.
Memang benar, perjalanan dari bangunan Quill 9 di Jalan Semangat, Petaling Jaya ke Putrajaya pada pagi itu menjadi pemanduan paling mewah, mungkin untuk seumur hidup penulis.
Lebih mengujakan lagi apabila Hal memberitahu kenderaan yang sama digunakan pelakon terkenal, Datuk Michelle Yeoh semasa menghadiri pelancaran butik Louis Vuitton (LV) di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Buat masa ini hanya tiga individu yang memiliki model Ghost di negara ini," jelas wakil Rolls Royce dari Singapura itu yang cukup arif mengenai jenama itu.
Langkah pertama penulis melalui pintu yang dibuka seperti gerbang itu cukup selesa. Ruang dari hujung kepala hingga ke hujung kaki disediakan cukup luas.
Kasut yang dipakai penulis tenggelam di permukaan permaidani halus. Badan pula meresap keselesaan dan kelembutan tempat duduk yang dibalut kemas dengan kulit lembu Bavaria - lembu yang diternak khas di pergunungan Jerman.
Mata terpegun mengamati kehalusan buatan tangan dari kilang Goodwood di England yang menggabungkan rekaan moden dan klasik dengan cukup sempurna. Alunan muzik klasikal yang kedengaran seperti seruan perlahan-lahan 'membangkitkan' Ghost.
![]() |
| REKA bentuk serba mewah yang jarang sekali dapat dilihat. |
Keindahan rekaan dalam kabin jentera sepanjang 5.4 meter itu dihiasi ciri-ciri trademark seperti jam dinding yang terpapar di tengah-tengah dashboard. Di hujung bonet depan pula berdiri seorang gadis yang dinamakan Spirit of the Ectasy - lencana kebanggaan Rolls Royce.
Keunikan kereta itu diserikan dengan sekaki payung teflon yang tersimpan di dalam daun pintu untuk menambah elegan pemiliknya. Satu lagi teknologi moden yang diserapkan adalah akses tanpa kunci.
Di tempat duduk pemandu, balutan kulit berkualiti tinggi sekali lagi membuktikan keselesaan sebaik sahaja kedua-dua tangan menggenggam stereng. Dengan kawalan gear dan audio di hujung jari, pemandu boleh menikmati pemanduan dengan erti kata lebih bebas.
Selain ciri-ciri fancy itu, kemewahan saloon ultra itu semestinya kelengkapan sistem multimedia dan set telekomunikasi premium bertaraf VVIP-nya. Secara keseluruhan, Ghost dibina dengan segala kemewahan yang ada pada BMW 7 Siries.
Tempat duduk belakang dilengkapi dua skrin LCD bersaiz 9.2 inci dengan sistem audio berkuasa 600 watt yang menyalurkan bunyi keliling melalui 16 pembesar suara. Tidak cukup dengan simpanan data 12.5 gigabit, fungsi auxiliary juga disepadukan untuk peralatan audio luar.
Ghost yang mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan disifatkan sebagai jentera terbaik dan terpantas dihasilkan Rolls Royce. Ia mewakili model lebih kecil jika dibandingkan dengan keluarga Phantom.
"Jika Phantom lebih sesuai digunakan untuk majlis istimewa, model Ghost ini boleh digunakan sebagai pacuan harian," jelas Hal.
Dengan pengurangan 44 sentimeter daripada model Phantom, saiz Ghost yang dinamik tetap mengekalkan ciri-ciri mewah.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: