Friday, November 5, 2010

Karnival MI 2010 kini di Melaka

Jelajah Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010) yang kini memasuki siri keenam dan juga yang terakhir bagi tahun ini akan menemui seluruh peminat inovasi yang berada di Zon Tengah pada 13 dan 14 November ini.

Karnival anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu serta rakan strategik melibatkan empat negeri iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan memilih Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sebagai lokasi.

Seperti biasa, karnival MI 2010 yang bertemakan Meraikan Kreativiti, pelbagai program inovasi telah disusun untuk semua lapisan masyarakat.

Antaranya ialah acara tetap di setiap lokasi iaitu pertandingan inovasi, pameran produk inovasi, ceramah interaktif, bengkel inovatif dan Malam Kreativiti Muzikal.

Sebanyak tujuh siri ceramah interaktif dan lima bengkel inovatif diadakan bagi tujuan membuka minda kreativiti peserta dan melahirkan satu masyarakat yang berbudaya kreatif dan inovatif tanpa mengira lapisan usia.

Antara kumpulan sasaran adalah meliputi semua lapisan masyarakat iaitu golongan orang kurang upaya (OKU), wanita, belia, pelajar sekolah, komuniti, penduduk bandar dan luar bandar, penyelidik, badan bukan Kerajaan dan pihak swasta.

Antara aktiviti yang dijangka memberi impak sempena karnival tersebut adalah Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi yang disampaikan oleh Pengarah Latihan, Zull Design Autotronic (ZDA), Zulfadzli Haron bersama Utusan Malaysia.

Turut menarik perhatian pengunjung ialah Program Cabaran Angkasawan 1Malaysia yang mendapat sambutan di setiap lokasi MI2010 sebelum ini iaitu di Perlis (Zon Utara), Kota Kinabalu (Zon Sabah), Kuala Terengganu (Zon Timur), Batu Pahat (Zon Selatan) dan Kuching bagi Zon Sarawak.

Malah, tarikan utama MI 2010 bagi Zon Tengah kali ini adalah Malam Kreativiti Muzikal pada malam 13 November 2010 tersebut.

Pertandingan tersebut bertujuan menonjolkan bakat kreativiti anak-anak muda negeri di Zon Tengah dalam bidang seni.

Johan pertandingan ini akan berpeluang membuat persembahan di Festival MI 2010 di Bukit Jalil pada 24 hingga 26 November ini.

Orang ramai di sekitar Melaka, Negeri Sembilan serta Selangor di jemput datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival yang pasti banyak memberi manfaat serta pendedahan terhadap bidang inovasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: