Friday, November 5, 2010

Hanya setengah jam hasilkan inovasi!


GELAGAT sebahagian peserta yang teruja apabila berjaya menyalakan mentol menggunakan suis geganti pada sesi praktikal Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi di Kuching Sarawak, baru-baru ini.


Hanya mengambil masa setengah jam sahaja satu rekaan yang mampu mendapat tempat di pasaran seluruh negara berjaya dihasilkan.

Malah, lebih mengujakan rekaan tersebut dicipta oleh sekumpulan pelajar dengan hanya berbekalkan beberapa suis asas serta litar ringkas.

Rekaan yang dinamakan sebagai Door Lock Checker berjaya menambat hati juri pertandingan inovasi sempena Bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi bersama Zull Design Autotronic (ZDA) yang diadakan di Tebingan Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Berkonsepkan sistem keselamatan, Door Lock Checker berfungsi sebagai pemberi amaran awal kepada pengguna tentang keadaan pintu kediaman mereka sama ada sudah dikunci atau sebaliknya.

Sekiranya pintu telah terkunci, sistem amaran tersebut akan menyalakan lampu berwarna hijau manakala jika sebaliknya ia akan menyalakan lampu berwarna merah.

Rekaan pelajar dari Institut Perguruan Batu Lintang (IPBL) tersebut ternyata berjaya menyelesaikan masalah rumah dimasuki penjenayah akibat pemiliknya lupa mengunci pintu.

Selain itu ia juga memiliki aplikasi lain yang turut dihasilkan untuk tujuan yang sama dan boleh dipertingkatkan dari masa ke semasa. Namun apa yang pasti ciptaan tersebut berjaya 'mengejutkan' urus setia bengkel.

Masa yang diperuntukkan pada pertandingan tersebut hanyalah setengah jam dan di sertai oleh tiga orang peserta dalam satu kumpulan.

Mereka dikehendaki menghasilkan apa jua ciptaan berdasarkan konsep serta penerangan oleh Zulfadzli sepanjang hari itu.

Tujuan asal pertandingan itu adalah untuk melihat sejauh mana kefahaman peserta terhadap pengisian bengkel yang dilaksanakan.

Justeru, ciptaan Door Lock Checker oleh peserta tersebut menunjukkan rakyat di negara ini sememangnya kreatif namun tidak berpeluang untuk mendedahkannya.

Itu adalah antara kejayaan yang sempat dirakamkan oleh lensa kamera pada bengkel inovasi sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI 2010) Zon Sarawak baru-baru ini.

Bengkel tersebut merupakan siri keenam diadakan dan yang keempat di bawah payung MI 2010, iaitu program sempena tahun inovasi yang menghimpunkan 225 acara sepanjang tahun 2010 diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pelbagai aktiviti hands on diadakan antaranya menghidupkan lampu menggunakan air, sentuhan tangan dan sebagainya.

Ternyata penyertaan peserta pada bengkel kali ini lebih meriah apabila dihiasi dengan pelbagai gelagat menyebabkan pihak urus setia tidak menang tangan melayani mereka.

Seperti biasa, penerangan ringkas yang diberikan oleh Pengarah Latihan ZDA, Zulfadzli Haron pada peringkat awalnya tidak berjaya menarik perhatian peserta.

Pada peringkat awal mereka kelihatan lebih banyak berdiam diri. Hanya memerhati serta mendengar sahaja celoteh Zulfadzli menerangkan konsep asas berkenaan elektrik dan elektronik.

Rata-rata peserta kelihatan bingung, malah ada juga peserta kelihatan termenung jauh semasa mendengar penerangan yang diberikan oleh pembimbing.

Pada bengkel tersebut, Zulfadli menjelaskan aktiviti-aktiviti yang menekankan kepada penggunaan suis yang penting kepada proses penciptaan mana-mana teknologi.

"Justeru perkara asas dalam penggunaan suis diberi keutamaan sebelum mereka mencipta atau menghasilkan inovasi berteknologi tinggi,'' katanya.

Namun, siapa menyangka apabila memasuki sesi praktikal bersama alatan seperti suis tekan, suis bermagnet, suis geganti, mentol dan penggera, keadaan dewan mulai riuh rendah dengan suara peserta.

Ada antara mereka yang menjerit akibat terkejut dengan kejadian letupan kecil daripada geganti akibat arus yang dialirkan secara terus.

Malah tidak ketinggalan ada yang menjadi panik apabila percikan api tiba-tiba muncul daripada hujung dua terminal positif dan negatif yang bersentuhan secara tidak sengaja.

Lebih melucukan, ada peserta wanita yang langsung tidak berani menyentuh mana-mana hujung wayar yang terdedah kerana bimbang jari mereka terbakar mahu pun terkena renjatan elektrik.

Pada akhirnya, akibat terlalu seronok melihat kerlipan mentol serta berjaya menyiapkan setiap tugasan yang diberikan mereka terlupa tentang perkara menakutkan yang berlegar di fikiran ketika di awal bengkel tersebut.

Ternyata peserta pada kali ini amat gembira serta teruja dengan pelbagai pendedahan yang diberikan ketika bengkel tersebut berlangsung.

Selepas ini, bengkel Mega Ke Arah Rakan Inovasi bersama Zull Design akan ke lokasi seterusnya iaitu di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) sejajar dengan Karnival MI2010 Zon Tengah pada 13 dan 14 November ini.

Bagi yang berminat menyertainya dapatkan borang penyertaan melalui akbar ini dan pastikan anda datang beramai-ramai ke Karnival MI 2010 bagi Zon Tengah di Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: