Thursday, November 18, 2010

Impian hampir terlaksana




SEMUANYA bermula dari hobi tatkala sering dibawa bapa, Shahrul Mohd. Ali dan ibunya, Siti Maznah Slamat ke litar go-kart berhampiran tasik di Subang Jaya, Selangor. Dari situlah terbit minat untuk lebih serius sehingga usia Siti Shahkirah mencecah 16 tahun.

JADI tidak hairanlah sekiranya orang muda ini pada zahirnya nampak lembut tetapi berubah ‘warna’ apabila memegang stereng go-kart 32 kuasa kuda yang mempunyai dua gear.

Dek minat yang mendalam itu, anak kedua dari dua beradik ini menyertai ratusan kejohanan di Malaysia sejak berusia sembilan tahun. Lebih membanggakan hanya Shahkirah seorang sahaja peserta perempuan yang berani berlumba kereta di trek.

‘‘Saya tidak fikir apa-apa kalau memandu kerana tumpuan saya hanya pada garisan penamat sahaja. Saya mahu pandu cepat habiskan pusingan dan menang. Itu sahaja,’’ katanya ringkas pada pertemuan baru-baru ini.

Pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang kejohanan itu berlangsung. Namun diakui, dugaan lebih hebat andai sang pelumba lelaki dapat tahu bahawa pemandu kereta bernombor 23 itu adalah seorang gadis.

Nah, di situlah kerap terjadi insiden langgar melanggar meskipun dilakukan secara sengaja. Iyalah, secara dasarnya, mana ada orang lelaki mahu kalah di tangan perempuan. Sementelah permainan go-kart kebanyakan didominasi oleh kaum Adam itu.

Namun, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur itu tidak gusar kerana persediaan mental dan fizikal sudah dilakukan terlebih awal apabila mengikuti beberapa bengkel secara formal.

Masa depan Shahkirah dalam dunia go-kart cukup cerah kerana terpilih sebagai salah seorang peserta program Petronas Formula Xperience Racing School 2010. Di sinilah Shahkirah mendapat pendedahan sebelum menjejak kaki ke dunia Formula Satu satu masa nanti.

Ketika anda membaca tulisan ini, Shahirah sedang ligat memberi tumpuan sepenuhnya pada kejohanan Rotax Max World Grand Finlas 2010 di La Conca, Itali yang berakhir 21 November nanti.

Ini kali pertama Shahirah mewakili negara ke peringkat antarabangsa yang turut ditemani kedua ibu bapa dan mekanik Choo Ming.

Pemegang dua lesen dari Persatuan Automobil Malaysia ini juga berharap agar dia beroleh kemenangan, sekali gus menjadi kaum Hawa termuda yang meng-

harumkan nama negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: