Friday, November 5, 2010

Hasliza, Fadilah cantik & yakin




KEHADIRAN dua wanita ini menggamatkan suasana fotografi finalis Peraduan Citra Wanita One Drop Perfumes dan Mingguan Malaysia. Kedua-duanya tidak menyangka terpilih ke peringkat akhir walaupun menghantar borang penyertaan di saat akhir.

Si jelitawan, Nor Hasliza Hashim anak kelahiran Kedah manakala Fadzilah Ahmad Marzuki memilih busana batik berasal dari Johor. Sama cantik dan berkeyakinan, mereka tampil menarik tatkala memakai aksesori eksklusif Tomei.

Berusia 26 tahun, Hasliza bertugas Pentadbir di Biotehcorp bercita-cita menjadi usahawan berjaya. Berpengalaman melakukan pertunjukan fesyen, dia terus berusaha dan tidak jemu memperbaiki serta melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.

Baginya, gelombang modenisasi dan kepantasan teknologi dalam dunia kini menuntut golongan wanita mengetahui perkara baru.

“Justeru peluang menyertai peraduan ini menjadikan saya lebih berkeyakinan dan cuba memperbaiki diri,” ujarnya yang meminati fesyen yang cantik dan sopan.

Sentiasa bersikap ikhlas dan terbuka, Fadzilah, 28, percaya akan kebolehan diri sendiri. Dia mahu sentiasa memberikan yang terbaik dalam melakukan apa sahaja.

Sebagai pembantu tadbir, dia tidak pernah terbeban menjalani tugas sebagai pekerja dan suri rumah.

“Saya ingin bercita-cita menjadi seorang isteri yang baik dan mampu menjadi contoh kepada wanita lain. Saya selalu mengingati pesanan ibu dan bapa saya yang menitikberatkan masa adalah aset penting kepada seseorang. Oleh itu, saya tidak mahu sia-siakan peluang menyertai pencarian ini. Mungkin dengan menyertainya, saya mampu menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat,” ungkap peminat Shiela Majid ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: