![]() |
| WIGAN Pier adalah antara kawasan yang dilewati sepanjang menyusuri sungai Bridgewater Canal bermula dari Castlefield ke Salford Quay. - Gambar: Marketing Manchester |
MANCHESTER dibaluti kedinginan sekitar 10 darjah Celcius ketika pesawat TK 1993, Turkish Arlines yang membawa penulis selamat mendarat di Lapangan Terbang Manchester, 19 Oktober lalu. Waktu tempatan kira-kira pukul 10.30 pagi. Jam di tangan penulis yang masih lagi waktu Malaysia pula menunjukkan pukul 6.30 petang. Sengaja waktu itu dikekalkan untuk dibuat perbandingan dan ketika kebanyakan rakyat Malaysia sedang menunggu kehadiran malam, penulis baru sahaja mahu memulakan hari di bumi Manchester.
Perjalanan ke Manchester ini adalah yang paling panjang pernah penulis tempuhi. Ia menuntut pertukaran tiga pesawat, singgah di tiga lapangan terbang dan melewati beberapa perbezaan zon waktu. Bermula dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Changi, Singapura, penulis bertukar pesawat di Lapangan Terbang Istanbul, Turki sebelum akhirnya tiba di Manchester. Kesemuanya mengambil masa kira-kira 23 jam atau lebih mudah dibundarkan sahaja kepada perjalanan selama satu hari.
Satu perjalanan sangat memenatkan namun sarat dengan pengalaman cukup berharga yang akan dikongsikan dengan pembaca nanti. Seperti wilayah lainnya di United Kingdom, Manchester paling sesuai dikunjungi sepanjang bulan Oktober. Ketika ini, bandar empat musim ini berada pada pertengahan musim luruh atau Autumn. Dingin udaranya bertiup perlahan menerbangkan daun-daun pokok maple yang mula bertukar warna keperang-keperangan. Langitnya pula memancarkan warna biru terang-benderang tanpa tompokan awan, membenarkan terik cahaya matahari memancar tanpa halangan. Satu pemandangan alam yang cukup menakjubkan.
Kehadiran penulis di kota Manchester ini atas tugasan memenuhi jemputan Visit Britain dan Turkish Airlines yang juga merupakan antara penaja utama kepada kelab Manchester United. Selain penulis, percutian sambil bekerja ini turut disertai oleh sembilan lagi wakil media lain termasuk tujuh dari Singapura. Manchester adalah kota persinggahan pertama kami sepanjang lapan hari di Britain sebelum menuju ke London dan Oxfordshire.
Ketibaan kami di Manchester pagi itu di sambut dengan 'huru-hara' yang dicetuskan oleh seorang lelaki bernama Wayne Rooney. Di mana-mana sahaja nama ayam tambatan kepada kelab bola sepak tersohor dunia Manchester United ini menjadi sebutan. Semuanya gara-gara teka-teki penghijrahan beliau ke kelab lain tahun depan yang disifatkan media di sana satu bencana kepada sukan bola sepak England. Begitu sekali besarnya pengaruh pemain berusia 24 tahun ini. Apa yang dicetuskan oleh Rooney itu adalah gambaran sebenar kepada nadi dan jantung utama yang ada di Manchester iaitu sukan bola sepak atau lebih tepat kelab Manchester United.
Semangat dan keghairahan terhadap sukan bola sepak di sini boleh dirasakan hampir setiap saat. Semangat yang sama lebih terasa kerana pada hari penulis tiba di sana, Manchester United akan menentang kelab dari Turki, Bursaspor pada sebelah malamnya dalam persaingan pasukan C, Liga Juara-Juara.
Tidak hairan pesawat dari Istanbul pagi itu dipenuhi dengan warga Turki yang turun ke Manchester untuk menyokong kelab bola sepak ternama mereka. Penulis sebenarnya berpeluang menonton perlawanan itu secara langsung di Stadium Old Trafford. Meskipun tidak akan berada di ruang VIP seperti sebahagian wartawan dari Singapura yang sudah membuat tempahan awal, namun penulis masih berpeluang menyaksikannya bersama ribuan penyokong Manchester United yang lain di bangku penonton.
Namun kerana 'kesilapan teknikal' yang tidak boleh penulis kongsikan di sini, peluang itu terlepas ketika separuh kaki sebenarnya sudah pun berada di pintu masuk stadium. Jauh di sudut hati, ada rasa kecewa yang mendalam kerana penulis sedar peluang keemasan sebegini sukar untuk berulang kembali.
Tidak mahu perasaan itu mengganggu baki hari-hari di sini, penulis memujuk diri dengan beranggapan sudah bukan rezeki. Untuk lebih menyedapkan hati, penulis meyakinkan diri bahawa Manchester United tidak pernah menjadi kelab yang diminati. Boleh dibilang dengan jari sebenarnya berapa ramai pemain kelab ini yang penulis kenal hanya dengan sekilas menatap wajah mereka. Selebihnya, pengetahuan penulis mengenai kelab ini serta kelab-kelab bola sepak lainnya di seluruh dunia sangat terhad.
Begitu pun rasa kecewa itu sedikit terubat apabila penulis berkesempatan ke stadium Old Trafford pada keesokan harinya. Stadium Old Trafford dari kota Manchester hanya berjarak kira-kira 20 minit jika memandu. Namun, kami memilih untuk menyusuri sungai Bridgewater Canal menaiki sampan bermula di Castelfield. Pelayaranselama satu jam itu turut menyeberangi Pomona Lock, Manchester Ship Canal dan River Irwell sebelum berakhir di Salford Quays. Dari situ, kami berjalan kaki kira-kira 10 minit menuju ke Stadium Old Trafford. 'Stadium Tour' sudah menjadi kelaziman di Old Trafford dan dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula pada pukul 9 pagi. Sepanjang kira-kira satu jam lawatan dengan seorang pemandu pelancong, kami di bawa mengelilingi hampir setiap kawasan stadium dengan kapasiti 76,312 tempat duduk ini. Bagaikan disimbah dengan cat merah, setiap penjuru stadium ini memancarkan warna itu dalam tona garang sesuai dengan jolokan pasukan pemiliknya iaitu The Red Devils.
Kami di bawa ke tempat duduk penonton di tingkat dua iaitu lokasi paling tepat untuk melihat keadaan sekeliling stadium. Di sebelah kanan, barisan kerusinya membentuk tulisan Streetford End, bertentangan dengan tempat duduk yang membentuk tulisan Manchester United di bangku sebelah kiri. Bagi yang tidak mengetahui, Streetford End adalah tempat duduk yang dikhususkan kepada penyokong fanatik atau lebih tepat 'die hard fan' Manchester United. Ruang dengan 20,000 tempat duduk ini merupakan pusat kepada hiruk-pikuk jeritan dan laungan peminat 'die hard fan' Manchester United setiap kali pasukan itu beraksi.
Namun apa yang membuatkan penulis teruja ialah kesempatan memasuki ruang-ruang peribadi pemain dan pengurus pasukan Manchester United ketika mereka bersiap untuk turun ke gelanggang.
Bilik persalinan yang menggunakan kemasan daripada kayu misalnya menempatkan tempat duduk setiap pemain yang dikhususka mengikut gantungan jersi. Di bilik ini juga, terdapat sebuah papan catatan bagi Sir Alex Ferguson menyusun strategi terutama selepas tamat separuh masa pertama.
Kamar mandi pemain terletak tidak jauh dari bilik persalinan ini. Sedikit terasing dari bilik pemain ialah sebuah auditorium kecil yang digunakan sebagai ruang media setiap kali tamat perlawanan. Kami turut diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman sebelum pemain turun ke gelanggang dengan beratur di laluan keluar pemain.
Pemain Manchester United selaku tuan rumah beratur di sebelah kanan manakala pemain pasukan lawan pula di sebelah kiri. Sambil berlari-lari anak menuju ke gelanggang, lagu Manchester United 'Glory-Glory Man United' dimainkan, seolah-olah kami akan turun ke perlawanan sebenar. Di kawasan gelanggang, peraturannya lebih ketat.
Kami tidak dibenarkan mendekati padang apatah lagi memijak rumput yang ketika itu sedang disiram dan dibaik pulih. Jika tidak salah ingatan penulis, Old Trafford akan sekali lagi digunakan pada sebelah malamnya sebagai gelanggang perlawanan antara Manchester City dan sebuah kelab dari Scotland. Satu jam di Old Trafford menerbitkan rasa kagum terhadap pengurusan stadium ini yang begitu tersusun dan sistematik.
Seolah-olah stadium ini tidak pernah digunakan sedangkan ia dipenuhi puluhan ribu penonton pada malam sebelumnya. Tidak ada sampah-sarap, kerusi tercabut atau terbakar, kesan-kesan mercun jauh sekali kerosakan angkara vandalisme. Melihatkan keadaan ini, ingatan penulis pantas melayang ke senario stadium di tanah air.
Betapa besarnya jurang sikap dan mentaliti peminat bola sepak tempatan kita jika dibandingkan dengan peminat di Eropah. Penulis kira peminat bola sepak tempatan perlu mencontohi sikap dan semangat peminat bola sepak di Eropah ini. Tidak salah mempunyai rasa fanatik terhadap pasukan bola masing-masing. Tetapi ia juga perlu hadir dengan rasa hormat dan cinta sebenar terhadap keseluruhan permainan bola sepak itu termasuk rasa sayang kepada stadium yang menjadi gelanggangnya.
Antara senibina tinggalan sejarah dan bangunan moden
Stadium Old Trafford mungkin menjadi tarikan utama di Manchester, namun kota ini secara peribadi menyimpan tarikan yang lebih besar iaitu keunikan seni binanya. Manchester bermula sebagai sebuah perkampungan kecil pada kurun ketujuh yang dibuka oleh tentera Roman. Sejak itu, Manchester berkembang dengan pesat dan melalui hampir kesemua revolusi dalam sejarah peradaban manusia.
Setiap peralihan zaman itu pula menyaksikan berdirinya bangunan yang mewakili tamadun tersebut. Paling mencuri tumpuan ialah bangunan-bangunan lama yang dibina sepanjang kurun ke-19 iaitu ketika era Victorian. Ini adalah era di mana Manchester menjadi salah satu pusat perdagangan dan pentadbiran yang penting di United Kingdom.
Antara bangunan terawal ialah Town Hall dan Albert Square yang dibina pada 1887. Bangunan-bangunan dengan seni bina silam lain yang popular juga termasuk Central Library (1934), Universiti Victoria (1880), Memorial Hall, Albert Square (1863), Masonic Hall (1929) dan banyak lagi.
Bangunan-bangunan lama ini pula berdiri megah di sebalik binaan moden yang mewakili Manchester pada abad ke-20 seperti Piccadilly Plaza, Arndale Centre, Lowry Centre, Imperial War Museum, Lifting Footbridge dan banyak lagi. Lokasi penginapan penulis sendiri iaitu Hotel MacDonald yang terletak berhampiran dengan jantung kota Manchester merupakan salah satu mercu tanda bangunan moden di sini.
Menariknya, setiap bangunan ini saling berdiri antara satu sama lain tanpa ada yang membayangi atau menenggelamkan keunikan senibina masing-masing.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: