Thursday, November 18, 2010

Hala tuju pelajar UPSR ke SBP

KUALA LUMPUR - Kepesatan pembangunan dunia dan kemajuan teknologi membuatkan negara perlu melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi membentuk modal insan berkualiti.

Untuk mencapai tujuan itu pelajar perlu memiliki keberanian dan daya kreativiti bukan sahaja dalam bidang akademik malah mampu menguasai kepakaran pelbagai bidang termasuk kemahiran berfikir daripada peringkat sekolah rendah.

Malah ia menjadi asas kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Model Khas, Sekolah Sukan dan Sekolah Menengah Khas.

Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran, mengumumkan seramai 48,327 daripada 482,334 calon UPSR mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarahnya, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, peratusan yang berada di bawah tahap pencapaian minimum iaitu semua Gred D atau E atau kombinasi kedua-duanya telah berkurangan daripada 3.99 peratus kepada 3.39 peratus pada tahun ini.

"Peratusan calon yang mendapat minimum Gred C didapati menurun sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun lalu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini baru-baru ini.

Abd. Ghafar berkata, pencapaian calon luar bandar dan bandar turut meningkat, dan ini telah merapatkan jurang pencapaian calon cemerlang sebanyak 0.04 peratus.

Peningkatan calon dapat dilihat secara keseluruhan melalui nilai GPN yang mengecil iaitu 0.01 bagi bandar dan 0.05 bagi luar bandar.

Jumlah pelajar mencatatkan peningkatan cemerlang yang diumumkan itu akan mewujudkan persaingan memasuki SBP.

Calon yang layak akan menjalani Ujian Aptitud bagi memastikan mereka yang diterima SBP mempunyai minat, kecenderungan dan ciri-ciri akademik.

Kecemerlangan pelajar mendapat keputusan 5A tidak menjamin ke SBP kerana merit pemilihan adalah berdasarkan rekod akademik, kokurikulum serta status ekonomi dan sosial.

Pemilihan mereka akan dinilai melalui Jawatankuasa Pencalonan Sekolah.

Keputusan ujian itu nanti berdasarkan dua kemahiran iaitu kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan turut diambil kira sebagai salah satu syarat pemilihan ke SBP.

Daripada keputusan ujian itu menentukan kecenderungan pelajar kepada bidang sosial dan budaya dan sukan menunjukkan peningkatan mendadak sebaliknya bidang akademik, teknik dan vokasional.

Dalam mengejar kecemerlangan SBP, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) juga dilihat mampu memperkasakan pelajar yang tidak mendapat tempat di SBP.

Pelbagai program kokurikulum sekolah dimantapkan pendekatan yang lebih baik ke arah memperkasakan SMK di seluruh negara.

Melalui penawaran program atau subjek yang dapat memenuhi kehendak ibu bapa pelbagai kaum lebih beraspirasi nasional.

Ia juga memberikan tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan kualiti prasarana di semua sekolah termasuk kawasan luar bandar dalam memperkasakan SMK.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: