IPOH 15 Nov. - Seramai 86 pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Teluk Intan dan sebuah kolej swasta di sini, Kolej TAJ menerima pingat gangsa, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda 2010 peringkat negeri tahun ini.
Timbalan Pengarah Belia, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Puziah Mahiddin berkata, kriteria utama penerima anugerah tersebut dinilai berdasarkan kepada peningkatan pencapaian golongan muda melalui empat komponen utama.
"Empat komponen utama itu ialah penglibatan dalam program khidmat masyarakat, kemahiran serta kreativiti, aktiviti fizikal dan pengembaraan.
"Ketika ini, sebanyak 13 golongan muda berusia antara 14 hingga 25 tahun telah dianugerahkan pingat perak sementara lebih 800 orang pula menerima anugerah gangsa," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Penganugerahan dan Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Negeri Perak 2010 di sini hari ini.
Turut hadir Penolong Pengarah Rakan Muda Negeri Perak, Munir Aliyasak.
Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda adalah anugerah berkembar di mana penerimanya turut diberikan Anugerah Remaja Antarabangsa yang juga dikenali sebagai 'The Duke of Edinburgh Award For Young People'.
Anugerah Remaja Antarabangsa yang diperkenalkan pada 1956 di United Kingdom (UK) itu kini dilaksanakan di lebih 130 negara di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Munir berkata, beliau yakin anugerah itu mampu mampu melahirkan generasi muda yang berdisiplin, bermoral, penyayang, beretika dan progresif serta berupaya menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
Katanya, pengiktirafan itu membuktikan nilai-nilai positif dan peribadi kental telah diterapkan sebagai persediaan untuk memimpin negara sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: