![]() |
| PEMAIN golf Malaysia, Kelly Tan menjadi pemain terbaik negara di kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia di Kelab Golf Kuala Lumpur baru-baru ini. |
OKTOBER lalu menyaksikan negara menjadi tuan rumah kepada tiga kejohanan golf bertaraf dunia. Bermula dengan kejohanan Terbuka Iskandar Johor (IJO) pada awal, diikuti dengan Sime Darby LPGA Malaysia pada pertengahan bulan dan ditutup dengan CIMB Asia Pacific Classic Malaysia.
Keseluruhannya, ketiga-tiga kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir AS$10 juta (RM35 juta).
Ia satu jumlah wang yang besar yang sudah mampu menarikan kehadiran nama-nama besar golf dunia.
Yang paling ketara ialah SIME Darby LPGA Malaysia apabila hampir semua pemain terbaik wanita dunia hadir.
Namun CIMB Asia Pacific Classic gagal menarik nama-nama besar dalam senarai 25 terbaik FedexCup seperti Phil Mickelson, Jim Furyk, Steve Striker dan termasuk Tiger Woods. Mereka lebih suka memilih beraksi pada kejohanan di Shanghai daripada datang ke Malaysia.
Tetapi yang pasti golf walaupun dipandang sinis oleh sesetengah pihak berjaya memberi sumbangan yang agak penting kepada pelancongan negara.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk James Dawos Damit, pada tahun lalu permainan golf membabitkan pelancong asing ialah hampir 900,000 orang. Setiap mereka sekurang-kurangnya akan membelanjakan RM1,000 setiap kali bermain golf. Maknanya pada tahun lalu golf menyumbangkan hampir RM900 juta kepada pendapatan negara tahun lalu.
Ini satu angka yang agak besar dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Malah dengan adanya kejohanan besar seperti pada bulan lalu ia mampu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi golf dunia.
Cuma kejohanan besar seperti itu perlu melibatkan lebih banyak tenaga tempatan supaya dapat memenuhi aspirasi pemindahan teknologi dan kepakaran.
Perkara itu dilihat kurang menyerlah pada kejohanan CIMB Asia Pacific Classic apabila krew televisyen tempatan langsung tidak dibenarkan turun ke lapangan. Mereka seolah-olah kena 'kurung' di pusat media.
Sedangkan kandungan yang disediakan oleh pihak penganjur langsung tidak mempunyai aksi Shaaban Husin, satu-satunya pemain tempatan yang beraksi pada kejohanan itu.
Perkara ini perlu diberi perhatian kerana tidak ada gunanya wang sebanyak itu dilaburkan jika kepentingan tempatan tidak diutamakan.
Krew-krew televisyen tempatan pun tidak minta banyak. Cukup sekadar dapat memacakkan kamera di green sembilan dan 18 atau di tee box satu dan 10.
Namun, secara keseluruhan, kejohanan itu dapat meningkatkan imej pelancongan negara.
Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sukan golf di Malaysia kini mampu memajukan perniagaan, kemudahan dan pakej pelancongan yang boleh mempromosikan negara dan sukan itu sendiri.
Terdapat peluang perniagaan yang kukuh dalam mempromosikan Malaysia sebagai sebuah destinasi golf memandangkan pemain golf adalah kumpulan yang cara hidupnya berkemampuan dalam segi kewangan dan kecenderungan untuk mengembara ke luar negara.
Sebab itu, sesiapa sahaja yang terlibat dalam penganjuran kejohanan besar seperti itu perlu memastikan aspirasi untuk memajukan industri golf tempatan termasuk usaha mempromosi pemain tempatan tidak diabaikan atau sekadar dipandang sebelah mata.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: