Thursday, November 18, 2010

English On Wheels didik pelajar tabika

KLANG 15 Nov. - Puteri UMNO Bahagian Klang melalui Kumpulan Sukarelawan Untuk Semua (Vogue) telah menganjurkan program memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak yang berada di tabika dan di bangku sekolah dengan cara yang lebih ceria.

Program yang dinamakan English On Wheels itu diadakan di Tabika Kemas Usmaniah B, Pangsapuri De Palma, Bandar Botanik di sini semalam.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Klang, Roselinda Jamil berkata, tujuan penganjuran program ini adalah untuk menggalakkan kanak-kanak terus mempelajari Bahasa Inggeris seawal usia lima tahun.

"Bagi mencapai objektif tersebut kami mengadakan segmen lakonan ala teater dalam Bahasa Inggeris bertajuk Little Red Riding Hood.

"Dengan cara ini kanak-kanak akan lebih tertarik untuk mempelajari Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua mereka," katanya.

Roselinda menjelaskan, kumpulan Vogue yang dilancarkan kira-kira empat bulan lalu kini aktif mengadakan program kemasyarakatan atas konsep pemimpin turun padang.

Selain program pemantapan Bahasa Inggeris pihak Vogue, katanya, turut menganjurkan pertandingan mewarna yang disertai oleh kanak-kanak pelbagai kaum dari umur lima hingga enam tahun.

"Kira-kira 123 orang kanak-kanak terlibat dalam pertandingan mewarna yang dianjurkan hari ini.

"Selain dapat mempelajari Bahasa Inggeris, kanak-kanak pelbagai kaum yang tinggal di pangsapuri De Palma ini turut dihiburkan dengan persembahan lakonan yang dilakonkan oleh pelajar-pelajar sekolah yang dijemput khas," katanya.

Jelas Roselinda, program yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang penduduk pangsapuri tersebut telah menguatkan lagi semangat skuad Vogue untuk mengadakan program sedemikian di sini pada masa depan.

Dalam program yang sama, UMNO Bahagian Klang turut bermurah hati menderma sebanyak RM500 kepada Tabika Kemas pangsapuri tersebut. Sumbangan disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Mazly Noor Abdul Latiff kepada pengerusi tabika, Mohd. Razmi Abd. Rahim.

Mazly Noor yang merasmikan program tersebut turut menyampaikan hadiah kepada semua pemenang pertandingan mewarna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: