Thursday, November 18, 2010

SMKDAM dipilih ke peringkat kebangsaan

MACHANG 15 Nov. - Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Maher (SMKDAM) terpilih mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan sempena 'Kempen Harapan Baru Untuk Orang Utan' ( New Hope For Orang Utan Campaign).

Sempena pemilihan itu juga, SMKDAM menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Sekolah Menengah Peringkat Negeri Kelantan di SMK Bandar Machang di sini baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Rosnah Wan Ibrahim.

SMKDAM adalah di antara 10 sekolah menengah seluruh negara yang menyertai kempen anjuran Kementerian Pelajaran , TV9, Boh dan Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Kumpulan itu mewujudkan laman sesawang http://www.rangutansaviours.blogspot.com dan sesiapa melayarinya, bermakna satu undi untuk SMKDAM.

Sebelum itu, kumpulan 11 pelajar tingkatan dua itu menyertai kempen berkenaan bermula September lalu.

Guru Penasihat kumpulan itu, Eliza Majid berkata, pelajar terlibat menjalankan pelbagai projek untuk kempen berkenaan di peringkat sekolah dan negeri.

Beliau berkata, antaranya, pertandingan melukis poster, mengumpul tanda tangan pelajar, pertandingan drama dan kuiz, kempen di rumah anak yatim, upacara melepaskan belon dan maskot bergerak.

''Penyertaan mereka pada kempen itu adalah bagi melindungi Orang Utan daripada pupus," katanya.

Menurutnya, melalui laman sesawang yang diwujudkan itu, orang ramai mengetahui tentang masalah yang dihadapi Orang Utan itu.

Selain itu katanya, ia bertujuan mendapatkan pandangan orang ramai dan mereka yang mencintai hidupan liar dalam usaha menangani masalah pembunuhan serta penjualan organ Orang Utan.

Sementara itu, seorang pelajar SMKDAM, Mohd. Faiz Afiq Mohd. Faizun, 16, terpilih Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah dan menerima anugerah tersebut pada majlis itu.

Pelajar yang memperoleh 8A pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 itu juga dinobatkan sebagai pelajar cemerlang kerana aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Antara jawatan yang disandang termasuk Ketua Kabinet Bayangan Majlis Pemimpin Pelajar dan Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah.

Sebagai Presiden Kelab Kadet Juru terbang Muda pula, dia menyertai modul pengajaran 'Private Pilot License' yang sebenar dan antara aktiviti yang diadakan ialah penerbangan simulasi menggunakan perisian flight simulator.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: